KUALA LUMPUR: Pelakon, Puteri Balqis meluahkan rasa kecewa dengan tindakan sesetengah warganet yang mendakwa ibunya, Norashikin Mohd Aziz mengambil bahan terlarang.
Menurut Balqis, komen yang disifatkan sebagai fitnah itu telah menyebabkan ibunya mengalami gangguan emosi dan hampir bertindak di luar jangkaan.
“Hari ini dalam TikTok, aku terima lebih 100 komen. Semua 100 komen itu benda yang sama. Jangan cakap aku tak relaks, jangan cakap baru satu komen aku dah beria.
“Kalau ikutkan, komen begini dah beribu dah, bertahun-tahun dah. Mak aku tak ada media sosial. Tapi tak tahu, dia tergerak hati nak baca komen semalam dan nampak pula komen macam ini.
“Aku dan Faris dari semalam tak makan tak tidur, sebab takut mak aku buat sesuatu membahayakan nyawa tiba-tiba,” katanya menerusi sebuah hantaran di TikTok.
Dalam perkongsian sama, pelakon drama Khilaf Yang Tertulis itu turut memaklumkan ibunya mempunyai rekod masalah kesihatan mental seperti major depression, anxiety dan Post Traumatic Stress Disorder (PTSD).
“Mak aku ada major depression, major anxiety, PTSD (Post-Traumatic Stress Disorder), disahkan oleh lapan doktor pakar HUKM.
“Kalau dia telan semua ini semalam, kau nak ganti balik mak aku? Sampai hentak kepala dia dekat dinding, sampai melompat-lompat macam orang gila,” jelasnya.
Tegas mempertahankan insan tersayang, Balqis juga tidak teragak-agak untuk berjumpa dengan individu tersebut untuk membuktikan ibunya bebas dan bersih dari bahan terlarang.
“Kau tak faham perasaan bila tengok mak kau kena fitnah, kena hina. Kau boleh jumpa aku depan-depan. Boleh jumpa dengan pengurus aku, boleh pergi suruh mak aku buat ujian air kencing.
“Mak aku dah berapa kali ulang alik balai polis buat ujian air kencing sebab komen-komen bodoh begini. Di Malaysia ramai orang yang bijak. Kau ingat doktor itu bodoh sangatkah?
“Mak aku ulang alik hospital, ambil darah, ambil air kencing. Ingat tak dapat kesan ke kalau kau ada dadah atau tak?
“Bila mak aku mati pun, aku harap dia mati dalam keadaan yang tenang. Dengan apa yang dia dah kena fitnah dan dihina, aku doakan rezeki dia sentiasa luas,” tegasnya.
Terdahulu, Balqis telah memuat naik sebuah hantaran video dia bersama ibunya membuat ulasan produk di TikTok sekaligus menjadi punca beberapa warganet melemparkan komen yang mendakwan ibunya mengambil barang terlarang kerana matanya merah.
“Mata merah menyala, belanja sikit kalau ada lebih,” komen salah seorang netizen.-UTUSAN