PETALING JAYA: PUSPAKOM menawarkan pemeriksaan kenderaan percuma pada Karnival Jom Heboh (KJH) di Plaza Angsana, Johor Bahru pada 1 hingga 3 November ini.
Pemeriksaan percuma itu melibatkan 25 bahagian termasuk brek, gelincir sisi, tayar, suspensi, asap, lampu, bahagian bawah dan atas kenderaan, ketelusan cahaya cermin, dan banyak lagi.
Ketua Pegawai Eksekutif PUSPAKOM, Mahmood Razak Bahman berkata, pemeriksaan kenderaan percuma itu bagi memastikan kenderaan berada dalam tahap keselamatan yang optimum.
“Kami menggunakan alat pemeriksaan berkomputer untuk memeriksa keberkesanan komponen kenderaan seperti cengkaman brek dan tahap pelepasan asap.
“Laporan pemeriksaan akan diberikan kepada pemilik kenderaan sebagai rujukan, supaya mereka mengetahui keadaan sebenar kenderaan atau kerosakan yang mungkin tidak dapat dilihat dengan mata kasar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Mahmood Razak, penyertaan dalam karnival berkenaan untuk memberi peluang orang ramai mengenali syarikat itu secara lebih dekat.
“Kami amat teruja untuk memperkenalkan unit trak nergerak (MTS) di karnival ini. Ia khidmat pemeriksaan kenderaan dan mengeluarkan laporan pemeriksaan yang sah.
“Keistimewaan MTS adalah kemampuannya untuk bergerak ke mana-mana lokasi untuk menjalankan pemeriksaan kenderaan, sama ada di kawasan bandar atau luar bandar.
“Jangan lepaskan peluang menyaksikan sendiri bagaimana MTS beroperasi dan lebih memahami fungsi PUSPAKOM secara langsung,” katanya.
Mahmood Razak berkata, selain pemeriksaan percuma, PUSPAKOM turut menawarkan pemeriksaan tukar milik, pemeriksaan sewa beli, pemeriksaan cukai jalan tamat tempoh dan pemeriksaan import terpakai/baharu di karnival terbabit.
“Di KJH, PUSPAKOM juga menyediakan khidmat nasihat berkaitan kenderaan, tawaran insurans dan kuiz serta pelbagai hadiah menarik untuk pengunjung reruai syarikat.
“Jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan pemeriksaan kenderaan dan menyertai pelbagai aktiviti sambil beramah mesra dengan kakitangan PUSPAKOM di sana,” katanya.-UTUSAN