PUSPAKOM kekal kompetitif

PUSPAKOM kekal kompetitif

PEMERIKSA kenderaan melakukan ujian asap terhadap kenderaan yang datang ke PUSPAKOM.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: PUSPAKOM Sdn. Bhd. (PUSPAKOM) menjadi syarikat pemeriksaan kenderaan pertama di Malaysia yang memperkenalkan teknologi kecerdasan buatan (AI) ke atas perkhidmatan pemeriksaan sama ada milik persendirian atau industri.

Justeru itu, bermula suku pertama 2025, PUSPAKOM menggunakan AI yang bukan sahaja dapat memendekkan tempoh pemeriksaan sebanyak 90 peratus namun dapat membantu melakukan pemeriksaan dengan lebih teliti dan menyeluruh.

Ketua Pegawai Eksekutif PUSPAKOM, Mahmood Razak Bahman berkata, inovasi baharu itu dapat menjimatkan tempoh pemeriksaan kepada 29 minit berbanding ketika ini 34 minit untuk sesebuah kenderaan.

Katanya, AI merupakan satu pendekatan untuk memastikan syarikat pemeriksaan kenderaan itu kekal kompetitif di samping memberikan perkhidmatan yang berkualiti dan memenuhi kehendak pelanggan.

Beliau menjelaskan, PUSPAKOM menggunakan AI untuk melakukan pemeriksaan bawah kenderaan di mana boleh membantu pemilik kenderaan berada di dalam keadaan yang selamat untuk dipandu di atas jalan raya serta mematuhi peraturan lebih menyeluruh dengan menggunakan kamera AI.

“Sebelum ini waktu pemeriksaan dipantau Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), dulu pada 1990-an, pemeriksaan mengambil lebih 75 minit satu kenderaan, sekarang dalam lingkungan 34 minit sebab dahulu cawangan tidak banyak, kini sudah bertambah. Tambahan pula, sekarang banyak inovasi maka tempoh lebih singkat.

“AI dapat memendekkan masa dalam dua hingga tiga minit, maka tempoh pemeriksaan menjadi di bawah 30 minit. Akhirnya yang untung adalah pelanggan, dalam aspek memaksimumkan produktiviti kenderaan mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mahmood menambah, PUSPAKOM pada masa akan datang mahu melakukan pemeriksaan menggunakan AI di bahagian atas kenderaan selain bahagian bawah, sekali gus dapat mengesan keseluruhan pematuhan kenderaan komersial dan persendirian.

WAKTU OPERASI 16 JAM

Selain penggunaan AI, Mahmood berkata, PUSPAKOM melaksanakan untuk menambah operasi kepada 16 jam secara percubaan (pilot) berbanding lapan jam sebelum ini sekali gus memberi peluang kepada orang ramai melakukan pemeriksaan di luar waktu bekerja dan perniagaan.

Katanya, buat masa kini pendekatan itu telah mula dilakukan di cawangannya di Glenmarie, Shah Alam dan jika tempoh percubaan berjaya, ia bakal diperluaskan di Wangsa Maju, Kuala Lumpur; Padang Jawa, Selangor, Johor Bahru, Johor dan Pulau Pinang pada 2025.

“Ramai pemain industri dan individu menyambut baik langkah ini. Jika sebelum ini, mereka terpaksa menghantar kenderaan ketika waktu bekerja tetapi kini boleh dilakukan pada luar waktu bekerja.
“Ia tidak menjejaskan operasi perniagaan mereka dan tidak perlu mengambil cuti untuk melakukan pemeriksaan. Boleh sahaja hantar kenderaan bermula 7 pagi sehingga 11 malam.

“Sebelum ini, ketika operasi lapan jam di cawangan Glenmarie, kita terima 290 kenderaan sekarang bertambah kepada 420 sehari. Uniknya kebanyakkan yang hadir selepas pukul 6 petang merupakan dalam kalangan pemilik kenderaan persendirian tanpa menggunakan orang tengah,” katanya.

Beliau berkata, perkembangan ini dapat memberi peluang kepada orang ramai melakukan pemeriksaan sendiri tanpa menggunakan orang tengah.

“Ramai pelanggan dikenakan caj RM150 jika guna khidmat orang tengah, sedangkan jika mereka hadir sendiri, mereka hanya perlu membayar kos pemeriksaan. Ianya lebih menjimatkan!” katanya.

PERKHIDMATAN PEMERIKSAAN BERGERAK

Dalam pada itu, Mahmood memaklumkan, PUSPAKOM juga menawarkan perkhidmatan pemeriksaan bergerak dengan menyediakan perkhidmatan pemeriksaaan kenderaan dari pintu ke pintu kepada pelanggan individu dan industri.

Katanya, perkhidmatan itu melibatkan Unit Bergerak Trak, Unit Bergerak Van dan Unit Bergerak Ringan.
“Bukan sahaja di rumah, malah pemeriksaan boleh dilakukan di kedai, kilang sama sahaja seperti di cawangan PUSPAKOM. Kami datang ke lokasi anda untuk melakukan pemeriksaan dengan keputusan boleh diketahui serta-merta di lokasi.

“Banyak syarikat utama untuk menggunakan perkhidmatan ini sekali gus menunjukkan ia mendapat permintaan sangat tinggi dalam kalangan orang ramai. Oleh itu, PUSPAKOM mahu meluaskan pemeriksaan bergerak dengan menambah bilangan trak dan van,” katanya.

 

INOVASI PUSPAKOM

Menurut Mahmood, PUSPAKOM juga merancang untuk menambahbaik pemeriksaan kenderaan elektrik (EV) sejajar usaha kerajaan mewujudkan prosedur operasi standard penggunaan kenderaan tersebut.

Ini bermakna katanya, pihak PUSPAKOM perlu meningkatkan teknologi dan kepakaran pemeriksaan EV.
“Seiring usaha kerajaan untuk membangunkan protokol EV, jadi PUSPAKOM kini sedang membangunkan ekosistem pemeriksaan EV,” katanya.

Malah katanya, apabila industri kenderaan memfokuskan EV, sekali gus pemeriksaan juga perlu seiring dengan perkembangan industri.

PUSPAKOM KEKAL KOMPETITIF

Mengulas lanjut, Mahmood berkata, semua pembaharuan itu merupakan usaha PUSPAKOM untuk memastikan syarikat pemeriksaan kenderaan menjadi pilihan utama pengguna di samping kekal kompetitif dalam kalangan pemain industri lain.

Sebelum ini, PUSPAKOM menjadi syarikat konsesia yang diberi kuasa untuk menjalankan fungsi pemeriksaan kenderaan motor di bawah mekanisme baharu Akta 333.

Berikutan keputusan mesyuarat Kabinet pada 17 Mac 2023, perkhidmatan pemeriksaan berkala kenderaan motor telah dibuka kepada mana-mana pihak yang berkelayakan untuk mengswastakan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan.

Susulan itu, PUSPAKOM tidak lagi menjadi penyedia tunggal perkhidmatan pemeriksaan berkala kenderaan motor bagi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bermula 1 September 2024.

Menyentuh perkembangan itu, Mahmood berkata, PUSPAKOM amat mengalu-alukan persaingan sihat antara pemain industri di samping dapat melonjakkan prestasi perniagaan.

“Dalam 3.1 juta pemeriksaan kenderaan dalam setahun, perlu ada strategi untuk menjadi pilihan utama pelanggan. Antara strategi yang disebut tadi adalah penggunaan AI dan penambahan waktu operasi kepada 16 jam.

“Ini antara memastikan PUSPAKOM kekal menjadi pilihan utama rakyat Malaysia, kualiti-kualiti perkhidmatan, yang akan membezakan kami dengan pemain industri lain. Penambahbaikan khidmat pelanggan akan menjadikan PUSPAKOM terus unggul dan terbaik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN