PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan pusingan kerja atau mobiliti bagi setiap anggota dan pegawai terutama di jawatan ‘panas’ antara tiga hingga empat tahun berbanding sekitar lima tahun sebelum ini.
Pendekatan bermula Februari lalu itu bagi mengelakkan setiap anggota dan pegawai ‘duduk’ di satu jawatan dalam tempoh lama iaitu melebihi lima tahun ke atas agar tidak berlaku masalah prestasi kerja, isu salah guna kuasa dan rasuah.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pusingan kerja juga perlu dilakukan bagi memastikan anggota dan pegawai polis yang berkemahiran serta berkebolehan dalam segenap bidang.
Katanya, ia sebagai pendekatan yang dikatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta arahan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengenai pusingan kerja perlu dilakukan pada penjawat awam.
“Justeru, saya mengarahkan pertukaran dan penggiliran tugas penyelia bagi tempoh tiga hingga lima tahun ke atas dilaksanakan.
“Seramai 6,090 jumlah mobiliti melibatkan pegawai kanan dan anggota mula dilaksanakan sejak Februari lalu. Ini membabitkan seramai 1,780 pegawai kanan dan 3,779 anggota,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Menurut Razarudin, seramai 531 mobiliti melibatkan Asisten Superintenden (ASP) hingga Deputi Superintenden telah dijalankan.
Selain itu, katanya, sebanyak 1,780 mobiliti membabitkan pegawai berpangkat Inspektor sehingga ASP secara khas untuk penyandang (KUP).
“Seramai 3,779 anggota berpangkat koperal dan sub koperal di semua kontinjen juga telah ditukarkan bermula Mac lalu,
“Pelaksanaan penggiliran dan pusingan kerja akan diteruskan agar dapat menyuntik semangat dan motivasi kerja individu yang terlibat, seterusnya meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan PDRM,” katanya.
Pada 26 September lalu, JPA mengarahkan semua ketua jabatan melaksana pusingan kerja di organisasi masing-masing mulai bula ini bagi memastikan setiap kementerian dan jabatan meningkatkan penyampaian perkhidmatan secara berkesan.
Menerusi kenyataan itu, langkah itu bagi membendung dan menangani masalah prestasi kerja, ketirisan dana awam, penyalahgunaan kuasa dan amalan rasuah.
“Langkah ini merupakan elemen penting dalam pengayaan dan peluasan tugas yang menyumbang kepada kemajuan kerjaya pegawai awam dari segi peningkatan kompetensi, pengalaman dan motivasi.
“Ia menjadi salah satu sasaran dalam Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam selari dengan Surat Edaran Pelaksanaan Urusan Pusingan Kerja dikeluarkan oleh JPA pada 14 Mei lalu. Justeru, semua Ketua Jabatan hendaklah memandang serius terhadap pelaksanaan pusingan kerja di Kementerian atau Jabatan masing-masing,” katanya.
Kegagalan dalam melaksanakan pusingan kerja boleh disifatkan sebagai cuai dalam melaksanakan tugas dan tidak bertanggungjawab.
Ketua Jabatan boleh dikenakan tindakan tatatertib di bawah Peraturan 4, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U. (A) 395/1993]. –UTUSAN