IPOH: Sebuah rumah kedai yang diubah suai sebagai pusat hiburan karaoke dan menawarkan perkhidmatan gadis pelayan pelanggan (GRO) warga Myanmar, digempur Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) Perak, malam tadi.
Pengarah Imigresen Perak, Meor Hezbullah Meor Abdul Malik berkata, serbuan di sebuah premis di Jalan Datuk Onn Jaafar dekat sini itu dijalankan hasil maklumat dan risikan selama dua bulan.
Katanya, berdasarkan siasatan, pusat hiburan itu menyediakan bilik karaoke dengan bayaran RM450 hingga RM600 termasuk minuman dan ditemani GRO.
“Siasatan mendapati, pusat hiburan ini mengiklankan kegiatan mereka melalui media sosial termasuk Facebook di mana pelanggan akan ditapis dan hanya lelaki warga Myanmar yang dibenarkan masuk ke premis itu.
“Selain menemani minum, kita percaya GRO yang juga warganegara sama itu turut menawarkan ‘layanan istimewa’ kepada pelanggan dan harga untuk aktiviti tersebut bergantung kepada tawar-menawar antara mereka,” katanya ketika ditemui selepas menyertai operasi itu di sini hari ini.
Menurut beliau, premis berkenaan telah beroperasi sejak enam bulan lalu dan dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) bagi memantau kehadiran pelanggan dan pihak berkuasa.
Katanya, siasatan mendapati, pusat hiburan yang beroperasi bermula pukul 9 malam hingga awal pagi itu mampu mengaut keuntungan antara RM6,000 ke RM7,000 sehari.
“Di Perak, ini merupakan serbuan kali pertama pusat hiburan yang khusus untuk warga Myanmar sahaja di mana GRO yang disediakan juga adalah dari negara sama,” katanya.
Mengulas lanjut beliau berkata, dalam serbuan dijalankan serentak di sebuah lagi premis hiburan di Lahat itu, seramai 39 individu berusia antara 19 hingga 35 tahun ditahan termasuk 19 GRO.
“Antara kesalahan dikesan ialah di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu masuk dan berada di Malaysia tanpa pas yang sah dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat Pas yang telah dikeluarkan.
“Warga asing tersebut akan ditahan di Depot Imigresen Ipoh bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut mengikut proses undang-undang,” ujar beliau. – UTUSAN