Pupuk minat sains, teknologi dalam kalangan pelajar luar bandar

Malaysia Techlympics pupuk minat sains, teknologi pelajar luar bandar

CHANG Lih Kang (tengah) bersama murid yang menyertai Karnival Minggu Sains Negara (MSN) peringkat negeri Perak dan Malaysia Techlympics Peringkat Zon Utara 2024 di Kuala Kangsar semalam. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Memupuk minat kepada sains dan teknologi dalam kalangan murid dan pelajar sekolah di luar bandar menjadi antara penekanan utama penganjuran Malaysia Techlympics.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, Malaysia Techlympics yang diadakan secara tahunan sejak tahun 2022 akan melibatkan sekolah-sekolah dari seluruh negara mengikut pecahan zon.

Jelasnya, penganjuran Malaysia Techlympics yang melibatkan Kementerian Pendidikan dan kerajaan negeri juga bertujuan mengurangkan jurang pendedahan terhadap sains, teknologi dan inovasi (STI) antara murid dan pelajar di kawasan bandar dan luar bandar.

“Kita jemput semua sekolah dan kita juga memberikan penekanan kepada sekolah-sekolah luar bandar. Kita boleh lihat ramai murid-murid dari sekolah luar bandar. Kita beri penekanan supaya ia lebih seimbang dan boleh mengurangkan kesenjangan antara bandar dengan luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis perasmian Karnival Minggu Sains Negara (MSN) Peringkat Negeri Perak dan Malaysia Techlympics Peringkat Zon Utara 2024 di sini semalam.

Lih Kang berkata, seramai lebih 5,784 peserta daripada 260 sekolah dari negeri Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis bersaing dalam Pertandingan Malaysia Techlympics 2024 Peringkat Zon Utara.

Menurutnya, Malaysia Techlympics adalah antara program perdana tahunan di bawah Kementerian Sains,Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi memupuk minat pelajar dan belia terhadap STI.

Katanya antara pendekatan yang dibawa menerusi penganjuran itu adalah berbentuk pembelajaran luar bilik darjah yang mana para murid dan pelajar boleh merasai pengalaman sains dan teknologi.

Tambah Lih Kang, MOSTI menitikberatkan program-program pembudayaan seperti MSN dan Malaysia Techlympics bagi menyokong silibus pendidikan formal yang dijalankan oleh Kementerian Pendidikan.

“Kerjasama rapat ini adalah penting dalam kita memupuk minat sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dalam kalangan anak-anak kita, seterusnya melahirkan lebih ramai jurutera, saintis, pakar teknologi, pengekod dan sebagainya,” katanya.

Sebanyak lebih 40 pertandingan diadakan melibatkan STI mengikut kategori selain aktiviti pendedahan lain yang turut melibatkan murid-murid dan pelajar pendidikan khas.

Kemuncak pertandingan Malaysia Techlympics 2024 akan berlangsung di Putrajaya pada bulan depan melibatkan zon-zon lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya