Pulau Pinang putuskan GISBH haram, menyeleweng daripada Islam

Pulau Pinang putuskan GISBH haram, menyeleweng daripada Islam

MOHAMAD Abdul Hamid (tiga dari kiri) ketika sidang akhbar mengumumkan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang mengenai ajaran, pegangan serta fahaman GISBH di George Town, Pulau Pinang.-UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Pulau Pinang menjadi negeri terbaharu yang memutuskan bahawa ajaran, pegangan serta fahaman
oleh Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) adalah haram, bercanggah serta menyeleweng daripada ajaran Islam.

Timbalan Ketua Menteri I yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, perkara itu diputuskan hasil Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang yang berlangsung selama dua hari bermula kelmarin.

Beliau berkata, mesyuarat berkenaan memutuskan, ajaran, pegangan dan fahaman yang dibawa oleh pemimpin, pengikut, pekerja atau jemaah GISBH dan rangkaiannya, didapati masih meneruskan amalan serta amalan Darul Arqam dan Syarikat Rufaqa’ Corporation Sdn. Bhd. (SRC) yang telah difatwakan sesat.

“Sehubungan itu, Jawatankuasa Fatwa memutuskan, orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan adalah dilarang dan diharamkan untuk beramal atau berpegang dengan fahaman atau amalan yang mempunyai persamaan dengannya. Diharamkan mengajar, menyebar, mengembangkan atau menyokong fahaman, ajaran seumpama ini.

“Orang Islam diharamkan menjadi pengikut atau mengisytiharkan diri, berada dalam majlis, perayaan atau sambutan keraian yang boleh dikaitkan dengan fahaman, ajaran atau amalan yang mempunyai persamaan dengannya,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Untuk rekod, lima negeri telah mewartakan amalan dan kepercayaan GISBH sebagai sesat setakat ini bermula Perlis, Selangor, Pahang, Melaka dan Sabah.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, Jawatankuasa Fatwa negeri juga mengharamkan memberi apa-apa kemudahan sumbangan, pembiayaan, bantuan atau sokongan secara langsung atau tidak langsung kepada mana-mana orang atau pertubuhan, persatuan, syarikat, rumah amal, pusat jagaan atau badan lain untuk tujuan menyebarkan atau mengembangkan fahaman ajaran, pegangan atau amalan ini atau apa-apa fahaman mempunyai persamaan dengannya.

“Bahkan, diharamkan juga untuk memiliki, menyimpan, menerbitkan, menyiar, mengedar atau menyiarkan apa-apa bahan berkaitan. Ini juga termasuk mengajar, menyeru, mengadakan atau membantu menjayakan apa-apa perayaan, sambutan keraian, atau aktiviti.

“Oleh itu, mana-mana ahli jemaah GISBH dan orang Islam yang mengamalkan fahaman dan ajaran GISBH wajib bertaubat serta meninggalkan fahaman dan amalan tersebut dengan segera,” katanya yang memberitahu, GISBH turut mengamalkan ekonomi yang mempunyai unsur perhambaan dan penindasan terhadap mereka yang terlibat serta eksploitasi terhadap ahli, kanak-kanak dan wanita.

Jelas Mohamad, bagi membantu memulihkan akidah jemaah GISBH pula, kerajaan negeri menyediakan Kompleks Darul Hidayah (KDH) Permatang Tok Gelam, Penaga sebagai pusat pemulihan akidah secara sukarela.

“Sehingga kini, KDH belum menerima mana-mana ahli GISBH untuk proses pemulihan akidah dan kami memohon pengikut, pekerja atau jemaah GISBH untuk tampil secara sukarela,” kata beliau.

Sementara itu, katanya, keputusan Jawatankuasa Fatwa itu juga akan diwartakan secepat mungkin bagi membolehkan penguatkuasa agama menjalankan tugas mengikut peruntukan undang-undang.

“Keputusan ini juga akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim untuk diperkenankan,” katanya yang memaklumkan, empat premis perniagaan milik GISBH di Pulau Pinang yang diserbu sebelum ini juga telah ditutup sepenuhnya dan tiada institusi pendidikan melibatkan kumpulan itu dikesan di sini buat masa ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya