GEORGE TOWN : Polis kini sedang mengesan dan memburu seorang lelaki kerana disyaki melakukan perbuatan tidak senonoh di hadapan rumah seorang wanita di Taman Bukit Erskine di sini, hari ini.
Pemangku Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden Lee Swee Sake berkata, terdahulu, seorang wanita berusia 31 tahun yang dipercayai mangsa telah membuat laporan polis kira-kira pukul 1.11 tengah hari tadi berhubung kejadian tersebut.
Katanya, wanita itu menyedari suspek berkelakukan tidak senonoh di hadapan rumahnya selepas dia memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di rumah berkenaan.
“Kelakukan tidak senonoh lelaki itu dirakam menerusi CCTV di rumah mangsa dan wanita berkenaan menyedari kejadian ini kira-kira pukul 6.40 pagi tadi.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan/Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955. Ketika ini, siasatan lanjut masih dilakukan dan usaha mengesan suspek juga sedang giat dijalankan,” katanya di sini, hari ini.
Terdahulu, tular satu rakaman video di media sosial memaparkan seorang lelaki bertindak mengambil pakaian dalam dari ampaian sebuah rumah sebelum menciumnya sambil beronani.
Suspek kemudian meletakkan semula pakaian dalam itu di ampaian selepas beberapa ketika sebelum bertindak melarikan diri.-UTUSAN