Pulau Pinang: Air pasang besar diramal berlaku antara 18-21 Oktober ini

Pulau Pinang: Air pasang besar diramal berlaku antara 18-21 Oktober ini

MOHD. NAZRI YASMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang meramalkan bahawa fenomena air pasang besar akan berlaku di negeri ini antara 18 hingga 21 Oktober ini.

Pengarahnya, Datuk Ir. Mohd. Nazri Yasmin berkata, sehubungan itu, penduduk yang tinggal berhampiran pantai atau sungai utama dinasihatkan supaya berwaspada kerana risiko banjir adalah sangat tinggi jika hujan lebat berlaku ketika air pasang besar.

Katanya, jika keadaan itu berlaku dan ia diselangi dengan ribut, maka, air laut akan melimpahi pantai manakala paras air sungai utama pula akan naik dengan cepat hinggamembawa kepada risiko banjir.

KEADAAN ombak kuat yang membadai kawasan Padang Kota Lama, Pulau Pinang, baru-baru ini.-UTUSAN/SAFINA RAMLI

“Berdasarkan Jadual Pasang Surut Malaysia 2024, paras air laut pasang tertinggi di perairan Pulau Pinang akan mencecah antara 2.8 hingga 3.1 meter CD (Chart Datum) bermula 18 sehingga 21 Oktober ini.

“Waktu puncak air pasang besar ini adalah daripada tengah malam hingga awal pagi. Mengikut piawaian JPS Pulau Pinang, sekiranya jumlah hujan melebihi 60 milimeter (mm) sejam, maka, ia dianggap hujan yang sangat lebat,” katanya di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd. Nazri berkata, di bawah Program Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRAB) Fasa 2, JPS Pulau Pinang telah memasang stesen amaran banjir di kawasan ‘hotspot’ dan berisiko banjir sebagai langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan kerosakan harta benda dan kemalangan jiwa.

Beliau berkata, ketika ini, terdapat 54 alat siren amaran banjir di seluruh Pulau Pinang iaitu 30 dipasang di bawah peruntukan kerajaan negeri, manakala 24 lagi dipasang di bawah PRAB oleh kerajaan Pusat.

“Alat siren amaran banjir ini dipasang di kawasan ‘hotspot’ dan berisiko banjir yang mempunyai penduduk di mana apabila paras air sungai di kawasan berhampiran mencapai tahap amaran, alat tersebut akan berbunyi untuk memberi amaran kepada penduduk sekitar.

“Apabila paras air sungai meningkat ke tahap bahaya, alat siren amaran banjir akan berbunyi lagi untuk meminta penduduk bersiap sedia berpindah ke tempat yang lebih selamat,” katanya.

Tambah beliau, sebanyak 19 alat pemantau paras air sungai juga telah dipasang di bawah kerajaan negeri dan 30 di bawah PRAB, menjadikan jumlah keseluruhan alat pemantau yang dipasang ialah sebanyak 49 set.

“Alat pemantau paras air sungai ini bertujuan untuk memantau paras air sungai. Selain itu, terdapat 97 stesen sukat air hujan dipasang iaitu 53 di bawah kerajaan negeri dan 44 di bawah PRAB,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya