GEORGE TOWN : Seramai 43 warga Myanmar diberkas dalam satu operasi penguatkuasaan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang di sekitar Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), semalam.
Jurucakap JIM Pulau Pinang berkata, mereka yang ditahan itu berusia antara 23 hingga 45 tahun dan terdiri daripada 28 lelaki dan 15 wanita.
“Mereka ditahan kerana disyaki terlibat dengan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63,” katanya di sini, hari ini.
Terdahulu katanya, satu operasi memburu Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) telah dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasa Imigresen Pulau Pinang terhadap beberapa buah premis perniagaan di kawasan berkenaan.
“Kira-kira 70 puluh warga asing yang terdiri daripada kalangan pekerja dan pelanggan turut diperiksa dalam operasi itu dan hasilnya, seramai 43 orang telah ditangkap kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63,” katanya di sini, hari ini. -UTUSAN