KUALA SELANGOR: “Pulanglah Kak Chik, kami bimbang akan keselamatan kamu.”
Demikian rintihan keluarga kepada Norasmidah Syamsul Bahari, 20, yang menghilangkan diri sejak kelmarin selepas keluar dari rumahnya di Kampung Bukit Kuching Tengah, Jeram, di sini.
Bapanya, Syamsul Bahari Abdul Karim, 42, berkata, pelbagai usaha dilakukannya bagi mencari anak ketiga daripada enam beradik itu atau mesra dengan panggilan Kak Chik.
Jelas beliau, pihaknya sudah berusaha melakukan pencarian dilakukan di sekitar kawasan perindustrian di Shah Alam hingga ke Kampung Sungai Sireh, Tanjong Karang.
“Kami kini buntu memikirkan keselamatannya yang kini memasuki hari kedua tidak pulang ke rumah. Puas kami mencari namun Kak Chik belum ditemui dan berharap dia pulang semula ke pangkuan keluarga,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurut Syamsul Bahari, kehilangan anaknya itu disedari ketika terjaga mahu ke tandas rumahnya, kira-kira pukul 12.30 tengah malam kelmarin.
“Saya terkejut mendapati kunci pintu depan rumah terbuka sebelum mengejutkan isteri (Siti Salmiah Mansor, 47) yang sedang tidur. Kami kemudian memeriksa bilik Kak Chik dan melihatnya sudah tiada,” ujarnya.
Tambah beliau, Norasmidah sebelum ini pernah menyatakan hasrat untuk berkahwin dan keluarga meminta untuk berjumpa teman lelakinya itu terlebih dahulu.
Sehubungan itu, Syamsul Bahari, merayu mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai anaknya supaya menghubunginya di talian 011-37985062 atau 018-3191475 (Salmiah).
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin mengesahkan kejadian dan pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung kehilangan wanita berkenaan. – UTUSAN