PTPTN hulur sumbangan kepada waris pelajar UiTM Dungun

PTPTN hulur sumbangan kepada waris pelajar UiTM Dungun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah mengadakan Program Ziarah PTPTN Prihatin bagi menziarahi waris Allahyarham Khairil Anwar Jamaludin, salah seorang mangsa nahas jalan raya melibatkan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Dungun, Terengganu. 

Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, Allahyarham merupakan penuntut Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dan peminjam PTPTN.

“Ketabahan keluarga Allahyarham dalam menghadapi tragedi ini adalah sesuatu yang sangat menginspirasikan. Kami di PTPTN ingin menyampaikan rasa simpati yang mendalam kepada keluarga Allahyarham. 

“Semoga dengan sumbangan ini dapat memberikan sedikit kelegaan dan sokongan kepada waris Allahyarham dalam waktu yang sukar ini. Setiap sumbangan yang diberikan adalah tanda keprihatinan PTPTN dan harapan untuk masa hadapan yang lebih baik bagi keluarga yang terlibat,” katanya dalam kenyataan. 

Terdahulu, akhbar ini melaporkan tragedi tiga pelajar UiTM Du­ngun maut selepas motosikal yang mereka naiki dirempuh seorang wanita dipercayai menghadapi masalah mental.

Mengulas lanjut, Norliza berkata, sesi ziarah dan penyerahan sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) telah diadakan di kediaman waris Allahyarham di Kampung Pandan Dalam, Ampang, Selangor.

“PTPTN telah memberikan surat pengesahan penyelesaian keseluruhan hutang pinjaman bagi pengajian peringkat Ijazah Allahyarham berjumlah RM7,092.51 dan khairat kematian berjumlah RM1,500 melalui Skim Perlindungan Takaful Berkelompok pinjaman pendidikan PTPTN.

“Selain itu, PTPTN turut menyerahkan sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) berupa wang tunai berjumlah RM2,000 dan sumbangan kotak makanan kepada waris Allahyarham,” katanya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya