IPOH: Bantuan makanan tengah hari percuma kepada para pelajar untuk mengikuti kelas tambahan peperiksaan umum dilihat membantu negeri Perak merekodkan prestasi yang positif.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kemudahan itu disediakan menerusi Program Bantuan Makanan Percuma Tuisyen Cikgu Saarani (TCS) yang kini masuk tahun ke empat sejak dilaksanakan bermula 2021.
Malah katanya, bagi tahun ini dana bantuan juga telah ditingkatkan kepada RM3.42 juta berbanding RM2.67 juta pada tahun lalu.
“Program ini menyasarkan 27,432 pelajar yang terdiri daripada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), dan pelajar Kolej Vokasional di seluruh negeri Perak.
“Kita tak mahu dengar ada alasan tak datang sebab tiada makanan tengahari. Jadi mereka akan tinggal di sekolah dan kita sediakan makanan tengahari untuk mereka,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Katanya, pelajar yang menghadiri kelas tambahan dan sesi tuisyen akan menerima makanan tengahari bernilai RM5 setiap hari.
Jelasnya, dana program itu disumbangkan oleh lima syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Lembaga Air Perak (LAP) dan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC), masing-masing RM1 juta, Perbadanan Menteri Besar (MBInc) sebanyak RM700,000, Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri (SSI) sebanyak RM500,000 dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk)RM220,000.
Katanya, beberapa peperiksaan awam menunjukkan peningkatan seperti Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) STPM meningkat daripada 2.75 pada 2022 kepada 2.83 pada 2023.
Gred Purata Negeri STAM meningkat daripada 3.29 pada 2022 kepada 3.18 pada 2023, manakala kadar kelayakan sijil SPM meningkat daripada 90.10 peratus pada 2022 kepada 92.55 peratus pada 2023, dengan Gred Purata Negeri meningkat dari 4.92 kepada 4.75.
Saarani percaya bantuan itu boleh mempermudahkan pelajar mengikut kelas tambahan, namun tetap melihat peranan guru dan pelbagai pihak lagi membantu negeri merekodkan peningkatan prestasi peperiksaan tersebut. – UTUSAN