Program khas Lesen B: JPJ terima permintaan tinggi

Program khas Lesen B: JPJ terima permintaan tinggi

KETUA Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli menyampaikan Lesen Memandu Malaysia (LMM) Kelas B kepada calon yang lulus ujian, Afifi Anuar, 36, di sini, hari ini. UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang menaik taraf aplikasi MyJPJ susulan mengalami capaian akses yang tinggi selepas Program Khas Peralihan Lesen Memandu Malaysia (LMM) Kelas B2/B1 kepada LMM Kelas B.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pemegang LMM Kelas B2/ B1 yang layak boleh membuat permohonan bagi mengikuti program khas tersebut bermula 1 Oktober.

Kata beliau, maklum balas orang awam untuk program ini adalah tinggi.

“Kita sedang ambil tindakan untuk naik taraf sistem aplikasi MyJPJ untuk memastikannya mudah menerima capaian akses yang tinggi,” katanya selepas hadir meninjau sesi ujian program berkenaan di Amsa Bangi Driving Academy di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, semakan kelayakan boleh dibuat di aplikasi MyJPJ, portal mySIKAP awam (https://public.jpj.gov.myjpj); atau kaunter JPJ.

Kata beliau, bagi mereka yang layak, pemohon boleh hadir ke mana-mana 180 institut memandu yang terpilih di seluruh Malaysia yang menawarkan program itu.

“Pemegang lesen hendaklah membuat pengesahan kendiri kesihatan tubuh badan, fizikal dan minda semasa pendaftaran di institut memandu,” jelasnya.

Tambah beliau, JPJ juga ingin memaklumkan kadar siling fi kepada institut memandu bagi program khas itu ialah RM160.

“Kadar fi ini merangkumi pendaftaran dan insurans pelajar, kursus peralihan dan penyesuaian (2 Jam), fi perkhidmatan (termasuk sewaan kenderaan dan litar) dan fi ujian JPJ.

“Program ini bertujuan menaik taraf pemegang LMM Kelas B2/ B1 kepada Kelas B tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan dan tiada lagi permohonan baharu bagi mendapatkan LMM Kelas B1 di institusi memandu,” jelasnya

Jelasnya lagi, maklumat lanjut berhubung program ini boleh layari www.jpj.gov.my.

Aedy Fadly menambah, tiga syarat utama ditetapkan bagi mereka yang ingin menyertai program itu iaitu pemohon adalah warganegara Malaysia, memiliki lesen memandu kompetan (CDL) Kelas B2/B1 yang sah dan berkuat kuasa secara berterusan.

“(Syarat) Ketiga ialah, (pemohon) bebas daripada disenarai hitam, tunggakan saman, sekatan urus niaga, rekod disabitkan kesalahan berat atau sebarang perkara belum selesai di bawah Akta 333,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya