PETALING JAYA: Yayasan Bank Rakyat (YBR) dengan kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra Perlis dan Jabatan Pendidikan Negeri Perlis mengadakan Majlis Pelancaran Program Intervensi Berfokus Jurang Pencapaian Murid Mengikut Kecerdasan Pelbagai.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail perkenan mencemar duli program itu yang berlangsung di Stesen Keretapi tanah Melayu (KTM) Arau, Perlis semalam.
Dalam majlis tersebut, baginda bertitah, program seperti ini perlu kerap dianjurkan bagi memastikan matlamat kecemerlangan pelajar tercapai.
“Program seperti ini dapat membantu pelajar agar tidak terjebak dengan permasalahan sosial kerana mereka merupakan pewaris yang bakal mendukung impian serta harapan negeri dan juga negara satu hari nanti,” titah baginda.
Dalam pada itu, Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani berkata, objektif lain program ini adalah untuk mengurangkan jurang perbezaan pencapaian sekolah-sekolah di bandar dan di luar bandar, serta faktor-faktor yang mempengaruhi prestasi murid seperti latar belakang sosioekonomi, kualititi pengajaran dan kemudahan sekolah.
“Diharapkan inisiatif ini dapat memberi impak positif melalui kaedah pembelajaran di luar bilik darjah serta memberi peluang memupuk kemahiran sosial dan interaksi serta pengalaman di persekitaran yang baru.
“Program ini turut menyasarkan kumpulan calon SPM 2024 di Negeri Perlis atau yang kurang berkemampuan bagi mendapatkan akses pendidikan yang berkualiti termasuk bahan pembelajaran, kelas tambahan dan persekitaran yang kondusif untuk aktiviti pembelajaran,” katanya. – UTUSAN