Prestasi kewangan catat lebihan hasil tahun 2023

Prestasi kewangan catat lebihan hasil tahun 2023

NISBAH defisit negara kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun lalu menurun kepada 5.0 peratus berbanding 5.5 peratus pada 2022.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Prestasi kewangan kerajaan tahun lalu mencatatkan peningkatan lebihan sebanyak RM2.08 bilion dengan penurunan defisit sejumlah RM8.595 bilion berbanding tahun sebelumnya.

Berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara 3/2023 mengenai Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan Tahun 2023 yang dibentangkan dalam Dewan Rakyat hari ini, ia menjadikan nisbah defisit negara kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun lalu menurun kepada 5.0 peratus berbanding 5.5 peratus pada 2022.

“Baki defisit Kumpulan Wang Pembangunan sejumlah RM10.217 bilion menunjukkan penurunan sejumlah RM1.734 bilion (14.5 peratus) berbanding RM11.951 bilion pada tahun 2022.

“Bagaimanapun, kerajaan Persekutuan perlu memberi perhatian terhadap trend peningkatan liabiliti persekutuan yang terdiri daripada hutang persekutuan dan liabiliti kewangan yang meningkat sejumlah RM92.038 bilion (6.6 peratus) kepada RM1.492 trilion berbanding RM1.400 trilion pada tahun 2022,” kata laporan itu.

Selain itu, laporan Ketua Audit Negara itu turut mendedahkan komitmen jaminan kerajaan Persekutuan terhadap 13 syarikat meningkat sejumlah 1.5 peratus tahun-ke-tahun kepada RM3.288 bilion pada 2023 berbanding RM224.116 bilion pada 2022.

Dalam pada itu, dividen yang diterima oleh kerajaan Persekutuan menunjukkan penurunan ketara sejumlah RM9.756 bilion (17.5 peratus) berbanding sejumlah RM55.815 bilion pada tahun sebelumnya.

Berhubung pengurusan liabiliti Persekutuan, laporan tersebut menunjukkan trend peningkatan dengan nisbah liabiliti Persekutuan kepada KDNK meningkat kepada 81.8 peratus berbanding 78.0 peratus pada 2022.

Nisbah hutang Persekutuan kepada KDNK bagi 2023 pada kedudukan 64.3 peratus juga meningkat berbanding 60.2 peratus pada tahun sebelumnya manakala, nisbah statutori hutang kepada KDNK adalah 62.1 peratus pada 2023 berbanding 57.5 peratus pada 2022, menurut laporan itu.

“Jabatan Audit Negara (JAN) mengambil maklum inisiatif yang dilaksanakan kerajaan bagi memastikan pengurusan hutang Persekutuan yang berhemat, terutamanya menerusi pembaharuan fiskal dengan kelulusan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 [Akta 850] di Parlimen pada 11 Oktober 2023.

“Kerajaan Persekutuan juga mengambil langkah rasionalisasi dan konsolidasi defisit secara berperingkat dengan unjuran defisit fiskal kepada 4.3 peratus kepada KDNK pada tahun 2024,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya