Premis nasi kandar jual telur masin ada ulat diarah tutup - Utusan Malaysia

Premis nasi kandar jual telur masin ada ulat diarah tutup

PEGAWAI PKD Kuala Muda melakukan pemeriksaan di bahagian dapur premis makanan yang tular kerana menjual telur masin mengandungi ulat di Sungai Petani. - IHSAN JABATAN KESIHATAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah mengarahkan sebuah premis makanan di daerah ini yang tular kerana menjual telur masin mengandungi ulat kelmarin ditutup serta-merta.

Pengarahnya, Dr. Ismuni Bohari berkata, perintah penutupan terhadap premis itu dilaksanakan mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

“JKN Kedah mengesahkan aduan diterima melalui Facebook Penduduk Sungai Petani pada Selasa berkaitan penemuan ulat dalam telur masin dan kebersihan premis berkenaan.

“Verifikasi aduan juga telah dilakukan dengan pengadu untuk mengesahkan kejadian itu yang kemudian ditularkan di media sosial,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, sepasukan pegawai dari Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Muda telah menjalankan siasatan lanjut semalam dan mendapati premis itu gagal mematuhi keperluan kebersihan premis di bawah Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009 Akta Makanan 1983.

Dr. Ismuni berkata, selain perintah penutupan, pihaknya turut mengeluarkan satu notis kompaun di bawah Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009 terhadap premis itu.

“Pemeriksaan semula premis itu akan dijalankan selepas pemiliknya dapat mematuhi semua arahan pembersihan dan megambil tindakan pembetulan sepertimana yang diarahkan oleh PKD Kuala Muda.

“Kami akan terus memantau bagi memastikan premis makanan yang beroperasi mematuhi peraturan ditetapkan bagi mengelak kejadian sama berulang,” katanya.

Semalam, Utusan Online melaporkan sebuah premis nasi kandar tular susulan rakaman video dimuat naik pelanggan yang mendakwa menemui ulat dalam telur masin semasa menjamu selera di premis itu bersama seorang rakannya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN