KUALA LUMPUR: Pos Malaysia digalakkan untuk memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam mengatasi masalah berkenaan aduan dan kelancaran proses melibatkan pelanggan.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, penggunaan AI bukan bermaksud untuk mengurangkan tenaga kerja malah membantu pihak perkhidmatan logistik melicinkan urusan pentadbiran mereka.
Katanya, pekerja juga dijamin oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) tidak perlu bimbang dengan kehilangan kerja akibat diganti oleh teknologi AI.
“Penggunaan AI bukanlah bermaksud untuk mengurangkan tenaga kerja dalam sesebuah organisasi, tetapi ia bertujuan untuk membantu menyelesaikan masalah-masalah yang sukar ditangani oleh mereka.
“AI tidak dapat mengganti manusia untuk menghantar surat dan sebagainya dari rumah ke rumah, ia hanya sebagai alternatif tambahan buat kemajuan syarikat, jadi peluang pekerjaan masih kukuh buat semua,” kata Fahmi dalam sidang akhbar Sambutan Hari Pos Sedunia di Kompleks Dayabumi di sini, hari ini.
Turut hadir dalam majlis itu, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching dan Pengerusi Pos Malaysia, Datuk Seri Syed Faisal Albar.
Dalam pada itu, Pos Malaysia, menerusi Pos Laju telah dianugerahkan penarafan 4 bintang dalam program MyKurier, dengan kerjasama MIROS dan Postal Forum.
Selain itu, syarkat kurier itu juga telah diiktiraf sebagai penyedia perkhidmatan kurier terpantas dan paling dipercayai pada Anugerah Penarafan Bintang MCMC 2023 untuk Industri Pos dan Kurier.
Tema sambutan tahun Hari Pos Sedunia tahun ini adalah “150 tahun memudahkan komunikasi dan memperkasakan rakyat merentasi sempadan. – UTUSAN