Politeknik sebagai suatu jenama alam pendidikan yang tidak asing lagi dalam pengajian tinggi yang menjuruskan tema disiplin terasnya kepada melahirkan modal insan yang unggul dalam bidang teknikal, pengurusan dan juga perdagangan.
Jika dahulu apabila sebut sahaja nama politeknik, maka timbul persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.
Namun, ia berbeza sama sekali buat masa kini kerana semua pihak seolah-olah terpegun dan ‘tabik hormat’ dengan keupayaan institusi pengajian tinggi (IPT) ini dalam melahirkan tenaga pakar dalam aneka jurusan teknikal buat keperluan negara.
Nyata bahawa transformasi politeknik mengubah wajah dan watak mahasiswanya dengan suatu paparan sikap dan reputasi yang cukup membanggakan, malah tidak keterlaluan dikatakan di sini bahawa mahasiswa di politeknik adalah insan terpelajar yang serba boleh dengan semangat untuk menggarap dan menerokai pelbagai disiplin.
Yang terkini dan kita cukup kagum dengan kehadiran aneka reka cipta hebat dari negara luar, maka kini sudah sampai masanya anak-anak muda kita yang berdaya intelektual unggul berusaha menggilap akal dan usaha semaksimum mungkin demi menghasilkan produk yang bertaraf dunia.
Kekuatan sesebuah negara dalam era globalisasi masa kini banyak dinilai menerusi penzahiran hasil cipta dan inovasi berasaskan sains dan teknologi.
Tambahan pula, kita semakin sedang berhasrat mencapai negara maju. Justeru, bidang reka cipta, reka bentuk dan inovasi berkualiti kelas dunia sewajarnya terus digilap dan diterokai.
Dalam menjayakan impian tersebut, maka politeknik wajar juga diketengahkan sebagai wadah yang terbaik dalam membuka ruang dan peluang untuk menampilkan seberapa banyak penghasilan inovasi melalui kerja-kerja penyelidikan yang hebat.
Dalam pada itu, seharusnyalah juga kita insafi bahawa banyak manapun hasil penyelidikan dan inovasi yang dijana, tetapi sekiranya ia sekadar ‘penghias’ rak koleksi IPT yang tidak mampu dimanfaatkan oleh masyarakat dan dan negara, maka ia tidak mengundang sebarang makna.
Jangan hanya berbangga kerana banyaknya menggondol anugerah dalam pertandingan inovasi sampai di peringkat antarabangsa, namun ia menjadi ‘sepi’ selepas itu tanpa sebarang tindakan susulan untuk dipanjangkan kegunaannya untuk masyarakat.
Justeru, kerjasama dan jalinan erat antara politeknik tempatan dengan pemain industri seharusnya terus dipergandakan secara aktif. – UTUSAN
MOHD RIZAL AZMAN RIFIN ialah Pensyarah Kanan
Jabatan Kejuruteraan Mekanikal Politeknik Muadzham Shah.