Polis tidak terima notis makluman himpunan kibar Jalur Gemilang - Utusan Malaysia

Polis tidak terima notis makluman himpunan kibar Jalur Gemilang

PESURUHJAYA Pas Perak, Razman Zakaria (tengah) berucap pada Himpunan Kibarkan Jalur Gemilang di hadapan Menara Condong di Teluk Intan semalam. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Polis tidak menerima sebarang notis pemakluman berhubung penganjuran Himpunan Kibarkan Jalur Gemilang yang diadakan di Dataran Menara Condong, Teluk Intan semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, berdasarkan kesalahan tersebut, kertas siasatan akan dibuka di bawah Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.

Katanya, pihak-pihak yang terlibat juga akan dipanggil untuk dirakam percakapan bagi melengkapkan siasatan.

“Mana-mana pihak yang ingin menganjurkan sebarang perhimpunan perlu menghantar notis pemakluman kepada polis dalam tempoh 10 hari sebelum tarikh perhimpunan di bawah APA 1012.

“Oleh itu, bagi menjalankan siasatan lanjut kes ini, pihak polis akan memohon perintah untuk menyiasat (OTI) sebelum memanggil pihak-pihak yang terlibat dalam himpunan berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Menurut Azizi, aduan berkaitan himpunan itu dibuat seorang pegawai rendah polis yang bertugas jaga aman di tapak pelancongan tersebut pada pukul 6 petang.

Katanya, terdapat antara 300 hingga 400 orang dilihat berkumpul di pekarangan Menara Condong itu di mana kelihatan seorang individu memberi ucapan tanpa pembesar suara di hadapan orang ramai.

“Perhimpunan ini diadakan oleh gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Teluk Intan sempena Himpunan Kibarkan Jalur Gemilang di Menara Condong.

“Hasil siasatan awal mendapati, individu yang memberi ucapan pada program berkenaan adalah Pesuruhjaya Pas Perak di mana himpunan itu turut dihadiri pimpinan Pas negeri dan kawasan serta penduduk setempat,” katanya.

Tambah beliau, pada program itu, kira-kira 200 Jalur Gemilang pelbagai saiz dikibarkan peserta dengan diiringi lagu patriotik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN