Polis tiada jawapan, operasi cari jasad Sabari dihentikan - Utusan Malaysia

Polis tiada jawapan, operasi cari jasad Sabari dihentikan

ANGGOTA bomba menghentikan operasi membantu polis mencari jasad Sabari Baharom yang tidak ditemukan di Sungai Padang Terap. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Operasi pencarian pesara pegawai kewangan Felcra, Sabari Baharom, 62, yang dipercayai dicampak ke dalam Sungai Padang Terap di Kampung Empa, di sini telah dihentikan.

Tinjauan mendapati, tiada kelibat pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di lokasi pencarian.

Bagaimanapun, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan pihak polis berhubung penamatan operasi mencari itu, namun bomba memaklumkan keputusan itu dilakukan polis.

Difahamkan, operasi yang bermula Isnin lalu meliputi radius 13 kilometer (km) di Sungai Padang Terap itu tidak menemukan sebarang petunjuk sehingga pencarian dihentikan.

Sementara itu, isteri mangsa, Subhiah Ruslina Shahibi, 57, memaklumkan bahawa beliau menerima maklumat mengenai perkara tersebut malam tadi.

Menurutnya, beliau dan ahli keluarga pula akan melawat lokasi kejadian iaitu di Jambatan Kampung Empa, Derang yang dipercayai menjadi lokasi mangsa dicampak.

Dalam pada itu, usaha untuk mendapatkan maklumat lanjut daripada Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh masih belum berhasil.

Terdahulu, operasi pencarian Sabari digerakkan selepas polis menahan dua suspek lelaki berumur 26 dan 38 tahun pada Jumaat lepas bagi membantu siasatan kes kehilangan warga emas itu.

Isnin lalu, polis mengesahkan Sabari dicampak ke dalam Sungai Padang Terap dalam keadaan tangan diikat dan mulut ditutup dengan pita pelekat.

Sabari dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Mengkuang Tengah di Kuala Pegang, Baling dengan menaiki kereta jenis Proton Waja pada 4 September lalu.

Kehilangan warga emas itu disedari anaknya selepas telefon bimbit dimatikan selain terdapat transaksi pengeluaran wang dari akaun bank milik Sabari sebelum kereta Proton Waja dinaiki mangsa ditemui hangus terbakar di Belantik, Sik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya