KUBANG PASU: Polis meneruskan operasi pencarian jasad pesara Felcra, Sabari Baharom, 62, yang disyaki dicampak ke dalam Sungai Padang Terap, di sini.
Usaha pencarian yang bermula kira-kira pukul 9 pagi itu setelah dihentikan sementara pukul 7 petang semalam turut dibantu pasukan bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, operasi mencari dilakukan di sepanjang sungai tersebut termasuk di celah rimbunan pokok di kawasan tebing.
Difahamkan, pencarian dilakukan di sungai berkenaan dari Wang Tepus menghala ke Kepala Batas sejauh kira-kira 12.8 kilometer (km), serta dari Loji Rawatan Air (LRA) Pelubang ke Tandop Chegar, di sini yang sejauh 7km.
Sementara itu, anggota operasi dilihat berdepan kesukaran berikutan faktor hujan lebat dan arus deras sungai selain kawasan itu yang turut dilanda banjir.
Semalam, Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh mengesahkan Sabari telah dicampak ke dalam Sungai Padang Terap dengan tangan diikat dan mulut ditutup menggunakan pita pelekat.
Katanya, maklumat itu diperoleh hasil pengakuan dua lelaki tempatan berusia 26 dan 38 tahun yang berjaya ditahan polis pada Jumaat lalu.
Terdahulu, bapa kepada tiga cahaya mata itu dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Mengkuang Tengah di Kuala Pegang, Baling dengan menaiki kereta jenis Proton Waja pada 4 September lalu.
Kehilangan warga emas itu disedari anaknya selepas telefon bimbit dimatikan selain terdapat transaksi pengeluaran wang dari akaun bank milik Sabari. Kereta terbabit kemudian ditemui hangus terbakar di Belantik, Sik dekat sini. – UTUSAN