Polis Terengganu rampas 788.2 kg dadah - Utusan Malaysia

Polis Terengganu rampas 788.2 kg dadah

MOHD. Khairi Khairudin (tengah) melupuskan dadah yang dirampas pada Majlis Serahan Barang Kes Narkotik Bagi Program Pelupusan 2024 di Kuala Terengganu. hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HARRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu berjaya merampas kira-kira 789.2 kilogram (kg) dadah pelbagai jenis bernilai lebih RM3.6 juta sejak Januari sehingga 30 September tahun ini.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Khairi Khairudin berkata, antara yang dirampas adalah daun ketum seberat 732.28kg, pil yaba (41.9kg), ganja (5kg), syabu (4.4kg) dan heroin (4.1kg).

Menurut beliau, dadah jenis cecair yang turut dirampas membabitkan ubat batuk seberat 8,851.4 liter dan air ketum seberat 2,974.1 liter yang dianggarkan bernilai keseluruhan RM260,825.

Mohd. Khairi menjelaskan, daripada jumlah itu sebanyak 1,044 kertas siasatan (bekalan) telah dibuka dan dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 39B, 39A(2) dan 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Sejak Januari lalu juga, 2,330 kertas siasatan kes di bawah kategori permintaan telah dibuka membabitkan golongan ‘pusher’ yang merupakan ejen kepada pengedar dadah.

“Penalti lebih berat turut dikenakan terhadap pesalah berulang di bawah Seksyen 39(C) ADB 1952 iaitu tempoh pemenjaraan lebih lama yang lebih berkesan berbanding dihantar ke pusat pemulihan,” katanya.

Mohd. Khairi berkata demikian pada Majlis Penyerahan Barang Kes Narkotik Bagi Program Pelupusan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini, hari ini.

Pada program itu, lebih 24.3kg dadah antaranya jenis yaba, syabu, heroin, ganja, eramin 5 dan ecstacy serta 1,989 liter air ketum dan ubat batuk dianggarkan benilai RM2.3juta, dilupuskan.

Mohd. Khairi berkata, semua dadah yang dilupuskan itu adalah berkait dengan 2,958 kertas siasatan yang berjaya diselesaikan dan mendapat perintah mahkamah sejak 1991 sehingga tahun ini.

“Barang pelupusan ini membabitkan kes-kes tangkapan yang suspeknya sudah dijatuhkan hukuman oleh mahkamah dibawah ADB 1952 dan Akta Racun 1952,” tambah Mohd. Khairi.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya