GEORGE TOWN : Polis Pulau Pinang berjaya melumpuhkan satu sindiket pengedaran dadah jenis syabu susulan tertangkapnya tiga suspek termasuk seorang wanita dalam tiga serbuan berasingan sejak petang semalam.
Pada masa yang sama, sebanyak 19 bungkusan dadah yang dianggarkan seberat 20 kilogram (kg) bernilai RM640,000 turut dirampas susulan penangkapan tersebut.
Ketua Polis negeri, Datuk Hamzah Ahmad berkata, terdahulu, dua daripada suspek tersebut iaitu seorang lelaki dan wanita ditahan berhampiran kawasan parkir kereta di Butterworth dalam operasi yang bermula kira-kira pukul 4 petang semalam itu.
Katanya, susulan penahanan terbabit, polis merampas satu beg kain berwarna biru yang di dalamnya mengandungi satu bungkusan plastik lutsinar dipercayai dadah jenis syabu dengan anggaran berat 1,036 gram.
Jelas beliau, seorang lagi suspek lelaki yang dipercayai ahli sindiket terbabit turut ditahan di sebuah rumah di Bukit Mertajam tidak lama selepas itu.
“Polis seterusnya menjumpai satu kotak kertas berwarna coklat yang di dalamnya mengandungi 12 bungkusan plastik berwarna hijau disyaki berisi dadah jenis syabu seberat 12,643 gram selain satu bungkusan plastik berzip mengandungi enam bungkusan plastik hijau yang disyaki berisi dadah yang sama seberat 6,321 gram,” katanya di sini, hari ini.
Hamzah berkata, hasil risikan mendapati, sindiket terbabit telah bergiat aktif sejak awal bulan ini dengan menyasarkan dadah untuk pasaran tempatan.
“Jumlah keseluruhan dadah ini boleh digunakan oleh seramai 100,000 orang atau 100,000 kali penggunaan,” katanya yang memberitahu, ujian saringan air kencing mendapati, kesemua tangkapan bagaimanapun negatif sebarang jenis dadah walaupun mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan jenayah.
Tambah beliau, kesemua yang ditahan itu juga telah direman selama enam hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau dipenjara seumur hidup selain dikenakan tidak kurang daripada 12 sebatan.
Sementara itu, Hamzah memaklumkan, tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 apabila polis menyita sebuah kereta dan sejumlah barang kemas bernilai RM65,686 sekaligus menjadikan jumlah sitaan dan rampasan dadah secara keseluruhannya berjumlah RM705,686.
“Dalam hal ini, polis akan terus menggiatkan usaha untuk memerangi kegiatan pengedaran dadah bagi memastikan ia dibanteras habis-habisan,” katanya yang menggesa orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan supaya menghubungi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) PDRM di talian ‘hotline’ 012-2087222.-UTUSAN