ALOR SETAR: Pelajar sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di negeri ini yang didakwa menipu sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sudah ditahan polis, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Rodzi Abu Hassan ketika dihubungi berkata, pelajar lelaki itu ditahan kira-kira pukul 3 petang ini di rumahnya, dekat sini.
Katanya, suspek akan dibawa ke Mahkamah Jitra pagi esok untuk mendapatkan perintah reman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, wakil Pertubuhan Kebajikan Seberang Perai, Eng Hiap Boon meminta semua NGO mahupun individu yang pernah ditipu pelajar berusia 23 tahun itu tampil untuk membuat laporan polis secepat mungkin.
Menurutnya, langkah itu dapat membantu pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap suspek bagi mengelak lebih ramai pihak menjadi mangsa kelicikannya.
“Saya sudah lama mendedahkan mengenai kegiatan licik dia menipu mangsa dari seluruh negara. Kalau bercerita tentang kisah sedih, dia boleh menangis pada bila-bila masa untuk meraih simpati.
“Setakat ini dianggarkan lebih 20 NGO dan ramai orang perseorangan yang pernah ditipunya sebelum ini. Berdasarkan pengakuannya sebelum ini serta bukti yang diperolehi, anggaran jumlah yang ditipunya mencecah hampir RM200,000,” katanya.
Tambahnya selepas kisah mengenai penipuan individu itu dilaporkan akhbar hari ini, terdapat empat lagi mangsa yang menghubunginya bagi memaklumkan mereka turut ditipu.
Katanya, pelajar itu amat licik dalam melakukan penipuan sehingga sanggup membuat surat palsu menggunakan kepala surat universiti tempat dia belajar.
“Dia juga pernah mengemukakan slip transaksi palsu pembelian komputer riba, semata-mata untuk mengaburi penderma yang menyumbang kepadanya,” katanya. –UTUSAN