Siti Hajartul Haini Abd. Hamid

Polis tahan lima individu termasuk dalang penipuan emas

RAMLI MOHAMED YOOSUF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis menahan lima individu termasuk dalang utama Siti Hajartul Haini Abd. Hamid dalam serbuan berasingan di Kedah dan Kuala Lumpur. 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata, empat individu yang ditahan kelmarin dan semalam melibatkan tiga lelaki dan seorang wanita berusia 29 hingga 38 tahun.

Katanya, kesemua mereka yang ditahan termasuk Siti Hajartul direman sehingga 25 Oktober ini bagi membantu siasatan penipuan pelaburan emas pa jewellery dan paddy jewellery.

“Dalam tangkapan itu, kita turut merampas enam telefon bimbit pelbagai jenama.

“Sehingga kini, sejumlah 69 laporan polis diterima berkaitan penipuan pelaburan ini membabitkan nilai kerugian keseluruhan berjumlah RM48.5 juta. 

“Siasatan mendedahkan skim pelaburan ini menawarkan lima pakej pelaburan yang berbeza dengan pulangan berdasarkan harga emas semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pelabur yang berminat diarahkan membuat bayaran ke akaun syarikat Paddy Jewellery dan Paddy Legacy. 

“Bagaimanapun, pelabur tidak menerima pulangan sepertimana yang dijanjikan. 

“Siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan polis menasihatkan  mana-mana individu yang mungkin menyertai skim pelaburan ini untuk tampil membuat laporan polis di mana-mana balai polis berhampiran supaya siasatan lanjut dapat dijalankan,” katanya.

Terdahulu media melaporkan wanita dikehendaki polis, Siti Hajartul Haini Abd Hamid berhubung penipuan jualan emas membabitkan kerugian jutaan ringgit ditahan, semalam.

Wanita berusia 37 tahun itu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas semalam sebaik tiba ke negara ini dari Dubai.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN