Polis siasat video pertengkaran libat pegawai MB Kedah - Utusan Malaysia

Polis siasat video pertengkaran libat pegawai MB Kedah

TANGKAP layar video tular melibatkan beberapa individu yang dipercayai berselisih faham di Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Polis membuka kertas siasatan berhubung kejadian tular di media sosial melibatkan beberapa individu termasuk seorang lelaki didakwa pegawai kepada Menteri Besar Kedah.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, pihaknya menerima dua laporan berhubung kejadian itu daripada dua lelaki berusia 48 dan 54 tahun masing-masing pada pukul 1.25 pagi dan 10.58 pagi, hari ini.

Menurutnya, siasatan pihak polis mendapati kejadian itu berlaku pada pukul 11.50 malam tadi di sebuah lokasi di daerah ini.

“Berdasarkan rakaman video tersebut, beberapa individu didapati berselisih faham dengan seorang lelaki yang berada di tempat duduk bahagian pemandu sebuah kereta.

“Susulan itu, polis membuka kertas siasatan berdasarkan kedua-dua laporan polis tersebut di bawah Seksyen 352 Kanun Keseksaan dan Seksyen 504 kanun sama serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya di sini, hari ini.

Menerusi klip video berdurasi satu minit 20 saat itu, beberapa individu dilihat meluahkan rasa tidak puas hati terhadap seorang lelaki yang dikatakan pegawai Menteri Besar, setelah dia didakwa mengasari seorang wakil peniaga di Tapak Pasar Malam Jalan Pegawai, di sini.

Lelaki berkenaan menafikan dakwaan dia mengasari peniaga tersebut namun seorang individu lain memaklumkan, kejadian itu akan dilaporkan kepada pihak polis.

Siti Nor Salawati berkata, kedua-dua individu itu sudah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar untuk dirakam keterangan.

“Polis menasihati orang ramai supaya tidak menimbulkan sebarang spekulasi yang boleh mengeruhkan keadaan sementara siasatan dijalankan dan orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil memberi maklumat kepada pihak polis,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN