PETALING JAYA: Satu siasatan telah pun dibuka Polis Diraja Malaysia (PDRM) susulan pendedahan anak kepada bekas pemimpin Al-Arqam, Ashaari Muhammad, Ummu Atiyah yang mendakwa dirinya menjadi mangsa keganasan seorang pemimpin Global Ikhwan Service and Business Holdings Sdn. Bhd. (GISBH).
Siasatan dilakukan PDRM akan menumpukan kesalahan pengurungan salah.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, anak kepada bekas pemimpin Al-Arqam berusia 41 tahun itu sudah membuat laporan polis mendakwa dirinya dipaksa berkahwin dengan salah seorang pemimpin GISBH di Turkiye.
Kata beliau, dia kemudian dibawa pulang ke negara ini dan dikurung di sebuah perkampungan GISBH di Batu Hampar, Perak.
Selain itu, wanita itu juga menyatakan di perkampungan terbabit dihuni oleh ramai remaja dan orang dewasa dalam lingkungan usia 13 dan ke atas.
“Dia mendakwa dikurung dalam sebuah bilik rumah setingkat kira-kira sebulan serta tidak diberi kemudahan menggunakan telefon bimbit oleh empat lelaki yang juga pengikut GISBH.
“Dia juga menyatakan beberapa kali cuba untuk melarikan diri dari perkampungan itu namun ditangkap oleh penghuni lain.
“Pengadu menyatakan bahawa dia cuba melarikan diri kerana tidak tahan perbuatan pengikut GISBH yang mengurungnya dan memisahkan dengan anaknya,” katanya ketika dihubungi semalam.
Razarudin berkata, mangsa pernah mendapatkan rawatan psikiatri di Hospital Taiping sekitar tahun 2018 dan kini mengambil ubat di Hospital Melaka.
“Laporan dan keterangan perubatan sedang dalam proses diperoleh.
“Mangsa juga akan hadir dan menunjukkan semula lokasi rumah dia dikurung hari ini bagi membantu siasatan,” jelasnya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan.
“Kita (polis) juga sedang mengesan empat lelaki yang terbabit mengurung mangsa bagi membantu siasatan,” katanya. – UTUSAN