Polis sahkan identiti terbongkar punca Sabari dicampak dalam sungai - Utusan Malaysia

Polis sahkan identiti terbongkar punca Sabari dicampak dalam sungai

SUNGAI Padang Terap yang menjadi lokasi Sabari Baharom (gambar kecil) dicampak setelah diikat tangan dan mulut ditutup pita pelekat di Kubang Pasu. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Polis mengesahkan motif pesara pegawai kewangan Felcra, Sabari Baharom, 62, diikat tangan sebelum dicampak ke dalam Sungai Padang Terap adalah kerana identiti suspek terbongkar.

Perkara itu berlaku susulan rancangan asal suspek yang hanya mahu menyamun mangsa dengan memakai topeng muka tidak menjadi apabila Sabari mengenali wajah salah seorang mereka ketika kejadian.

Difahamkan, berlaku pergelutan ketika Sabari pulang ke rumah pada hari kejadian yang menyebabkan topeng muka dipakai suspek terbahit menampakkan sedikit wajahnya.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, kedua-dua suspek itu turut mengaku mereka menutup mulut mangsa dengan pita pelekat sebelum membawanya ke sungai di Kampung Empa, Kubang Pasu itu dengan tujuan untuk menghapuskan bukti.

“Soal siasat terhadap suspek mengaku niat awal mereka ingin menyamun mangsa namun selepas wajah suspek dicam, mereka terus mengambil tindakan mengikat tangan dan menutup mulut dengan pita pelekat lalu membawa mangsa dan mencampaknya ke dalam sungai,” katanya kepada pemberita hari ini.

Pada Isnin lalu, akhbar ini melaporkan misteri kehilangan Sabari di Baling akhirnya terungkai apabila polis memberkas dua lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam kehilangan mangsa.

Kedua-dua suspek berusia 26 dan 38 tahun itu ditahan pada Jumaat lalu dan siasatan yang dilakukan melibatkan kes orang hilang terhadap mangsa sebelum itu kini dilanjutkan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, jasad Sabari masih gagal dijumpai sehingga kini melainkan kereta Proton Waja miliknya ditemukan hangus terbakar di gaung Hutan Gubir, Sik pada 20 September lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, Fisol turut mengesahkan operasi pencarian jasad Sabari yang dimulakan sejak Isnin lalu dihentikan pada petang semalam selepas polis gagal menemui sebarang petunjuk.

Sabari disedari hilang oleh anaknya sejak 4 September lalu selepas telefon bimbit dimatikan selain terdapat transaksi pengeluaran wang dari akaun bank miliknya ke akaun individu lain.

Berikutan itu, ahli keluarga mengesyaki Sabari diculik individu tidak dikenali ekoran terdapat beberapa transaksi pemindahan wang dari akaun Tabung Haji milik mangsa dalam tempoh dua hari selepas kehilangannya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN