Polis panggil penganjur perarakan kibar bendera China - Utusan Malaysia

Polis panggil penganjur perarakan kibar bendera China

AZIZI MAT ARIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Polis telah memanggil penganjur insiden tular berkaitan perarakan sambil mengibarkan bendera negara China di Dataran Menara Condong, Teluk Intan semalam, untuk diambil keterangan.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, pihak penganjur juga akan diminta mengemukakan semua peserta warga asing yang disyaki berasal dari China untuk tampil memberi keterangan.

Katanya, siasatan mendapati, perarakan berunsurkan keagamaan dan melibatkan kereta berhias itu didapati telah melanggar syarat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Polis telah memanggil penganjur untuk rakaman keterangan dan mereka juga akan diminta untuk mengemukakan semua peserta warga asing yang dipercayai dari China untuk membantu siasatan,” katanya di sini hari ini.

Menurut Azizi, aduan berhubung kejadian itu diterima daripada seorang lelaki tempatan pada pukul 12.39 tengah malam tadi.

Katanya, siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 4 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Seksyen 3 (1) Akta Lambang Kebangsaan 1949 kerana mempamerkan lambang kebangsaan negara asing di tempat awam.

Beliau juga menasihati mereka yang ingin menganjurkan perhimpunan agar menghantar notis kepada polis dalam tempoh 10 hari sebelum tarikh perhimpunan.

Terdahulu tular di media sosial gambar dan video berdurasi sekitar seminit memaparkan beberapa individu mengibarkan bendera China berhampiran dengan Menara Condong, Teluk Intan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN