IPOH: Kertas siasatan berhubung insiden mengibarkan bendera negara China di Dataran Menara Condong, Teluk Intan pada 24 Oktober lalu sudah lengkap dan dirujuk kepada Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5), Bukit Aman, hari ini.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, kertas siasatan berkenaan akan diteliti sebelum diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.
“Kita sedang menunggu arahan untuk tindakan susulan sama ada perlu menambah bukti atau meneruskan dengan pertuduhan di mahkamah,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut beliau, kesemua 16 warga China yang diambil keterangan sebelum ini bagi membantu siasatan kes kibar bendera negara asing itu masih berada dalam negara.
Katanya, kesemua mereka yang berusia antara 40 hingga 61 tahun itu memberi kerjasama baik sepanjang siasatan polis dijalankan.
“Hasil semakan mendapati penganjur membuat permohonan kebenaran untuk menganjurkan perarakan itu pada 6 September dan diluluskan pada 2 Oktober lalu.
“Bagaimanapun, pihak penganjur didapati melanggar syarat permit kerana membenarkan warganegara asing turut serta dalam perarakan itu,” katanya.
Tambah Azizi, setakat ini sebanyak 61 laporan polis diterima berhubung perarakan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana melanggar syarat permit dan Seksyen 3(1) Akta Lambang Kebangsaan 1949 kerana mengibarkan bendera asing semasa perarakan.
Terdahulu tular di media sosial gambar dan video berdurasi sekitar seminit yang memaparkan beberapa individu mengibarkan bendera China berhampiran dengan Menara Condong, Teluk Intan. – UTUSAN