Polis kesan pemandu lori sebabkan pelajar tingkatan 5 maut kemalangan

Polis kesan pemandu lori sebabkan pelajar tingkatan 5 maut kemalangan

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis sedang mengesan pemandu lori yang terlibat kemalangan maut membabitkan seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun di Persiaran Saujana Impian menghala ke arah Kajang, dekat sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, kemalangan dilaporkan berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal berseorangan dalam perjalanan dari rumahnya ke sekolah.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, setakat ini pemandu lori yang terbabit dalam kemalangan itu belum tampil membuat laporan polis.

“Semasa melalui Persiaran Saujana Impian, dipercayai penunggang motosikal menekan brek motosikal lalu hilang kawalan menyebabkannya terjatuh di laluan sebelah kiri jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Naazron berkata, mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk proses bedah siasat dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu, beliau memohon saksi kejadian atau mereka mempunyai maklumat mengenainya atau pemilik rakaman dashcam semasa kejadian untuk tampil membantu siasatan polis.

“Mereka boleh menghubungi balai polis yang berdekatan atau Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Nur Faezah Mohd Zakria di talian 012-3268496,” jelasnya.

Terdahulu, media melaporkan seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saujana Impian, Aqil Mawardi, 17, maut dalam kemalangan.

Anak kepada Timbalan Pengarah 1 Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan, Mawardi Che Man itu maut di tempat kejadian selepas dilaporkan cedera parah di bahagian kepala. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya