Polis kenal pasti empat individu kurung anak bekas pemimpin Al-Arqam - Utusan Malaysia

Polis kenal pasti empat individu kurung anak bekas pemimpin Al-Arqam

RAZARUDIN HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Polis mengesahkan sudah mengenal pasti nama empat individu didakwa mengurung anak bekas pemimpin Al-Arqam, Ummu Atiyah Ashaari, 41, yang menjadi mangsa keganasan seorang pemimpin GISB Holding Sdn. Bhd. (GISBH).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, nama individu berusia lingkungan 20 tahun ke atas itu dikenal pasti berdasarkan laporan yang dibuat serta menerusi YouTube seperti dinyatakan oleh mangsa.

Bagaimanapun beliau berkata, siasatan masih berjalan untuk mengesan individu terbabit.

“Kalau sesetengah orang cakap kita (polis) tergesa-gesa, kita tidak tergesa-gesa dan bukan ada sesuatu terus tangkap. Itu anggapan luar di sana mungkin silap, siasatan dijalankan jika ada tangkapan.

“Buat masa ini kita akan mencari dan mengesan mereka untuk bagi keterangan dan jika boleh tangkap tanpa waran akan dibuat untuk menyelesaikan siasatan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) siri dua 2024 di Mutiara Taman Negara Eco Resort di sini hari ini.

Terdahulu, Ummu Atiyah mendakwa pernah menjadi mangsa keganasan dan rogol oleh  seorang pemimpin GISBH sewaktu dia dipaksa untuk berkahwin dengan seorang pemimpin kumpulan itu pada 2015.

Wanita itu mendakwa, dia menolak untuk berkahwin dengan lelaki berkenaan kerana lelaki itu didakwa seorang yang tua, boroi dan menjijikan sebelum dia  melarikan diri ke rumah rakannya di Jordan.

Namun, lelaki berkenaan dan pengikutnya mencarinya di Jordan dan mahu Ummu Atiyah menyerahkan diri dengan membuat kecoh.

Dakwa wanita itu, dia dalam keadaan terpaksa menyerah diri dan diminta bersalam dengan lelaki berkenaan sebagai tanda setuju berkahwin tetapi Ummu Atiyah mendakwa menolak untuk melakukan perbuatan tersebut.

Semalam, Ummu Atiyah selesai dibawa ke  Perkampungan Maahad Sayuti dipercayai lokasi didakwa dikurung kira-kira sebulan di Kampung Batu Hampar Dalam, Perak.

Mengulas lanjut, Razarudin tidak menolak kemungkinan terdapat mangsa lain menerima nasib sama seperti Ummu Atiyah tetapi tidak mahu tampil ke depan memberikan maklumat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN