Polis buru kumpulan samun warga asing

Polis buru kumpulan samun warga asing

Wira Tempang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Polis kini sedang memburu satu kumpulan penjenayah didalangi warga asing selepas mereka dikesan terbabit dalam dua siri rompakan bersenjata di daerah ini sejak awal bulan ini.

Lebih menakutkan, kumpulan ini menjadikan kediaman yang berdekatan dengan hutan sebagai lokasi rompakan sebelum kesemua mangsa diikat dan dirompak.

Pemangku Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Shan Gopal Krishnan berkata, kejadian pertama dilaporkan sekitar pukul 3 pagi pada 6 Oktober lalu di Persiaran Vista, Bandar Baru Salak Tinggi, di sini.

Beliau berkata, berdasarkan laporan, mangsa diikat oleh suspek di dalam rumah selepas rumah dipecah masuk melalui pintu belakang.

“Dalam kejadian itu, barang peribadi yang dilarikan membabitkan wang tunai, barangan kemas dan jam tangan.

“Manakala, bagi kejadian kedua pada Ahad lalu di Jalan Sheikh Jalaludin, Bandar Baru Salak Tinggi pula, tiga beranak dirompak menggunakan modus operandi sama dan suspek melarikan wang tunai, jam tangan dan barangan kemas,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek dipercayai warganegara Indonesia berdasarkan pengesahan oleh semua mangsa.

Shan Gopal berkata, suspek juga bergerak secara berkumpulan antara tiga ke empat orang yang melakukan samun menggunakan senjata parang, mengenakan baju warna gelap dan
bertopeng.

Menurutnya, anggaran kerugian membabitkan dua kes samun itu adalah sekitar RM20,000.

“Buat masa ini, suspek belum diberkas dan sedang diburu. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara yang boleh sampai 20 tahun dan sebatan.

“Kami menasihatkan orang awam untuk tampil memberikan maklumat kepada polis jika mempunyai maklumat berkenaan kejadian ini dengan menghubung pegawai penyiasat Inspektor Thaqib Zulkafli
di talian 013-2185758 atau ibu pejabat Polis daerah sepang di talian 03- 87774222,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya