PNSB anjur kejohanan golf amal, bantu lima pertubuhan kebajikan

PNSB anjur kejohanan golf amal, sumbang RM15,000 kepada lima pertubuhan kebajikan

SAIFUDDIN Nasution Ismail (depan, 14 dari kanan) dan Amirudin Shaari (depan, 13 dari kanan) bergambar bersama peserta sebelum memulakan Kejohanan Golf Amal PNSB 2024 di Glenmarie Golf & Country Club, Shah Alam, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), anak syarikat kerajaan Negeri Selangor, telah menganjurkan Kejohanan Golf Amal PNSB 2024 di Glenmarie Golf & Country Club di sini, semalam.

Kejohanan tahunan itu bertujuan mengumpul dana untuk disalurkan kepada badan-badan kebajikan terpilih sebagai sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) PNSB bagi tahun ini.

PNSB berjaya mengumpul dana sebanyak RM15,000 yang diagihkan kepada lima pertubuhan kebajikan, iaitu The National Autism Society of Malaysia (NASOM), Kelab Bell Belia Tamil Negeri Selangor, Persatuan Komuniti Ehsan Insan Klang, Pertubuhan Pewaris Alam, dan Badan Kebajikan Pejabat Pendidikan Daerah Klang.

RAJA Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim (empat dari kiri) dan Pengurus Besar Korporat PNSB, Mohamad Nizam Yaacob (tengah) bergambar bersama para penaja Kejohanan Golf Amal PNSB 2024.

Majlis itu diserikan dengan kehadiran Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shaari selain Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Setia Haji Haris Kasim, yang turut menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah.

Ketua Pegawai Eksekutif PNSB, Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim dalam ucapannya berkata, sumbangan kepada pertubuhan kebajikan mampu membawa perubahan besar kepada mereka yang memerlukan.

“PNSB berusaha untuk lebih inklusif dalam pembahagian sumbangan kali ini dengan memperluaskan bantuan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili pelbagai lapisan masyarakat, termasuk kaum dan komuniti berlainan.

“Ini mencerminkan komitmen kami untuk memastikan setiap segmen masyarakat di Selangor menerima manfaat daripada inisiatif CSR PNSB,” katanya.

Kejohanan yang disertai 144 peserta dari pelbagai jabatan, agensi, dan organisasi itu turut menawarkan hadiah bagi kategori medal A dan B, serta acara cabutan bertuah pada majlis penutup.

Acara ini dilihat sebagai usaha PNSB mengeratkan hubungan antara pemimpin tertinggi kerajaan dengan orang awam serta sektor swasta, selari dengan misi CSR PNSB. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN