SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima pembayaran zakat perniagaan daripada Permodalan Nasional Berhad (PNB) sebanyak RM3.9 juta bagi tahun kewangan berakhir 2023, hari ini.
Baginda berkenan menerima menghadap Pengerusi PNB, Tan Sri Raja Arshad Raja Tun Uda yang menyerahkan bayaran itu dalam satu istiadat ringkas di Istana Bukit Kayangan, di sini.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Zakat Selangor (LZS), Mohd. Sabirin Mohd. Sarbini berkata, kutipan zakat di negeri ini pada suku ketiga meningkat sebanyak lima peratus atau kira-kira RM740 juta berbanding tempoh sama, tahun lalu.
Menurutnya, zakat perniagaan juga menunjukkan peningkatan apabila berlaku pertambahan syarikat-syarikat baharu menunaikan kewajiban itu organisasi yang membayar lebih tinggi berbanding taksiran.
“Kutipan zakat perniagaan meningkat seiring dengan kutipan zakat lain, pada tahun ini juga berlaku peningkatan pembayar zakat perniagaan serta syarikat (peningkatan taksiran). Kita sasarkan kutipan zakat itu sekitar RM500 juta. Kutipan semasa adalah lebih tinggi berbanding tahun lalu.
“Biasanya kutipan yang tertinggi adalah pada bulan Disember yang mana kami menyasarkan di atas usaha-usaha dakwah sepanjang tahun dan juga kesedaran. Kami mengharapkan lebih ramai sama ada individu ataupun syarikat tampil bagi bayaran zakat pada tahun ini,” katanya ketika ditemui selepas istiadat itu, hari ini.
Tambahnya trend kutipan bagi zakat perniagaan, pendapatan dan lain-lain mengunjurkan sasaran kutipan pada tahun ini dapat dicapai.
September lalu, Utusan Malaysia melaporkan kutipan zakat Selangor sehingga Ogos tahun inj mencapai 60 peratus daripada sasaran RM1.2 bilion bagi 2024.
Dalam pada itu, Mohd. Sabirin turut menyatakan penghargaan kepada PNB atas bayaran zakat yang diterima serta komitmen dan usaha sama antara syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) itu dengan LZS.
“Zakat akan diagihkan mengikut kaedah-kaedah yang ditetapkan melalui bantuan konsumtif melibatkan keperluan asas seperti makan, minum, tempat tinggal dan sebagainya.
“Selain itu LZS juga mengadakan aktiviti pembangunan ummah iaitu melalui pendidikan, pekerjaan dan juga keusahawanan (pada syarat yang ditetapkan),” ujarnya. – UTUSAN