KUALA LUMPUR: Pemimpin pembangkang mendakwa kerajaan masih mengamalkan cara berfikir seperti pembangkang sehingga wujudnya kecelaruan polisi dan dasar.
Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin berkata, kerajaan tidak boleh memerintah dengan sikap ‘rasa-rasa’ atau tidak berfikir sebelum mengumumkan dasar kepada rakyat.
Dakwa beliau, perkara tersebut menyebabkan berlakunya kecelaruan.
“Betapa celarunya pembuatan dasar kerajaan, saya sudah sentuh perkara ini banyak kali. Kerajaan tidak boleh suka-suka umumkan sesuatu tanpa ada kerangka dasar yang jelas (sepatutnya) duduk dan bincang elok-elok dahulu, pastikan semua elemen, konteks diambil kira sebelum umumkan.
“(Jika) keadaan berterusan sebegini, apabila pembangkang menyentuh perkara ini dikatakan kita mempolitikkan ia. Bila rakyat menyentuh, dikatakan tidak betul. Jadi apa yang betulnya? Tunjuk kepada kami.
“Kelemahan utama kerajaan pada hari ini adalah kerana mereka masih berfikir sebagai pembangkang, bukan sebagai kerajaan. Apabila berfikir seperti itu, macam-macam janji boleh dibuat (tetapi) akhirnya tidak terbuat jadi perangai itu terbawa-bawa ke dalam pelaksanaan dasar kerajaan,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat.
Radzi Jidin yang merupakan wakil rakyat dari Perikatan Nasional (PN) berkata demikian selepas mempersoal ketiadaan penjelasan lanjut mengenai golongan T15 yang yang tidak layak menerima subsidi bahan api RON95.
“Maka ahli Parlimen dan rakyat di luar sana melihat T15 ini dalam konteks pendapatan isi rumah yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan.
“Menteri Ekonomi (Rafizi Ramli) pada 22 Oktober 2024 menyatakan bahawa beliau tidak fikir bahawa kerajaan akan menggunakan pendapatan isi rumah seperti sekarang,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, beliau menggesa kerajaan menghentikan kecelaruan dasar seperti yang didakwanya.
“Apa (yang) syok sangat umum benda tidak tentu ni? Ini bukan flip flop (tetapi) sudah pusingan roundabout, pusing-pusing benda sama tanpa perjalasan yang jelas,” ujarnya. – UTUSAN