PM ke Bangladesh esok, perkukuh hubungan bilateral

PM ke Bangladesh esok, perkukuh hubungan bilateral

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan rasmi ke Bangladesh bermula esok dalam usaha mengukuhkan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan, lawatan rasmi itu dibuat menerusi jemputan Ketua Penasihat Kerajaan Interim Bangladesh, Dr. Muhammad Yunus yang juga tokoh hadiah Nobel pada tahun 2006.

“Perdana Menteri akan mengadakan pertemuan dua hala dengan Ketua Penasihat Kerajaan Interim Bangladesh bagi membincangkan hubungan dua hala Malaysia dan Bangladesh serta memperkukuhkan persahabatan antara kedua-dua negara.

“Pada masa sama, Perdana Menteri juga dijangka mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Bangladesh, Mohammed Shahabuddin sebelum pulang ke Kuala Lumpur pada hari sama,” katanya hari ini.

Pada tahun 2023, seramai 6,288 pelajar Bangladesh menuntut di institusi pengajian tinggi Malaysia dalam pelbagai bidang pengajian.

Pekerja Bangladesh juga telah sekian lama menyumbang kepada pembangunan ekonomi Malaysia.

Untuk rekod, pada tahun 2023, Bangladesh merupakan rakan dagang ke-27 terbesar Malaysia selain destinasi eksport ke-19 terbesar dan sumber import ke-47 terbesar.

Bangladesh juga merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia di antara negara Asia Selatan.

Pada tahun 2023, jumlah perdagangan antara Malaysia dan Bangladesh berjumlah RM12.7 bilion (AS$2.78 bilion) menyaksikan penurunan sebanyak 35.5 peratus dengan jumlah RM19.69 bilion (AS$4.46 bilion) pada tahun 2022.

Pada enam bulan pertama 2024, jumlah perdagangan telah meningkat kepada 18.1 peratus iaitu sebanyak RM8.27 bilion (AS$1.75 bilion) berbanding tempoh yang sama pada tahun 2023.

Imbangan dagangan yang memihak kepada Malaysia juga meningkat dalam tempoh yang sama kepada RM6.65 bilion (ASD$1.39 bilion). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya