PM Ethiopia tiba di Malaysia untuk lawatan rasmi 2 hari

PM Ethiopia tiba di Malaysia untuk lawatan rasmi 2 hari

ABIY Ahmed Ali tiba di Malaysia hari ini bagi memulakan lawatan rasmi dua hari. FOTO: BERNAMA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Ethiopia, Dr. Abiy Ahmed Ali tiba di Malaysia hari ini bagi memulakan lawatan rasmi dua hari.

Ia merupakan kunjungan sulung beliau ke negara ini di mana pesawat membawa Abiy bersama isteri, Zinash Tayachew Bere dan delegasi mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 8.30 pagi.

Ketibaan beliau disambut oleh Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, serta Ketua Protokol Kementerian Luar, Datuk Yubazlan Yusof.

Sejurus tiba, Abiy memeriksa kawalan kehormatan dibarisi 28 pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat) diketuai Kapten Nur Ahmad Zaim Zahari.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar memaklumkan, Abiy akan disambut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam majlis sambutan rasmi, diikuti mesyuarat dua hala.

“Perbincangan antara kedua-dua pemimpin akan tertumpu kepada kemajuan hubungan dua hala, terutama kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan, pertanian dan komoditi.

“Selain itu, industri halal, pembangunan mampan, kesihatan, pelancongan dan pendidikan. Kedua-dua pemimpin juga dijangka membincangkan isu-isu serantau dan antarabangsa berkepentingan bersama.

“Satu sidang media bersama akan diadakan selepas mesyuarat dua hala tersebut,” menurut Wisma Putra.
Ethiopia rakan dagang ke-26 terbesar Malaysia di benua Afrika pada 2023.

Nilai perdagangan dua hala antara Malaysia dan Ethiopia berjumlah RM446.8 juta, dengan eksport Malaysia ke Ethiopia bernilai RM358.6 juta, meningkat 24.6 peratus berbanding tahun sebelumnya dengan imbangan dagangan berpihak kepada Malaysia.

Produk eksport Malaysia ke Ethiopia termasuk elektrik dan elektronik, minyak sawit serta barangan pertanian berasaskan minyak sawit, bahan kimia dan produk berasaskan bahan kimia, serta tekstil, pakaian dan kasut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya