PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pendidikan (KPM) meneliti isu berhubung masalah beban berganda malpemakanan melibatkan golongan kanak-kanak di negara ini.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, perkara tersebut ada dibincangkan menerusi Mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Anwar hari ini.
Fahmi berkata, isu berkenaan harus diteliti sebelum satu pelan strategik berkenaan diumumkan tidak lama lagi.
“Mesyuarat ada membincangkan perkara ini dan hari ini Jemaah Menteri ada menerima laporan terkini mengenai pelan dan strategi.
“Tetapi ada beberapa perkara yang diminta oleh Perdana Menteri untuk diteliti mengenai Pelan Strategi Kebangsaan Malpemakanan kanak-kanak,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Kabinet di sini hari ini.
Fahmi berkata, sebelum ini terdapat beberapa ikhtiar dilaksanakan kerajaan termasuk melalui Rancangan Makanan Tambahan (RMT) bagi memangani isu masalah malpemakanan ini.
“Perbincangan ini adalah (berhubung) sesi persekolahan yang berbeza (sesi pagi dan sesi petang) maka bukan hanya sekadar satu sesi tetapi kita melihat secara menyeluruh.
“Hal ini dekat dengan Perdana Menteri dan kita harap pada sidang Perlimen kali ini kita dapat perkembangan positif khusus berhubung isu malpemakanan dalam kalangan kanak-kanak,” katanya.
Kerajaan sebelum ini menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas Memerangi Masalah Beban Berganda Malpemakanan Dalam Kalangan Kanak-kanak yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ia bagi memberikan tumpuan terhadap aspek pemakanan seimbang kepada golongan muda dan belia yang akan menjadi pemacu pembangunan negara di masa hadapan.
Jawatankuasa tersebut turut mencadangkan satu Pelan Strategik Kebangsaan Memerangi Masalah Beban Berganda Malpemakanan Dalam Kalangan Kanak-Kanak Malaysia yang akan memberi fokus antaranya mengukuhkan tadbir urus kesejahteraan pemakanan melalui perundangan, komitmen politik dan pihak berkepentingan. – UTUSAN