Pikap terbalik, penyeludup lari tinggalkan 628kg daun ketum - Utusan Malaysia

Pikap terbalik, penyeludup lari tinggalkan 628kg daun ketum

PACUAN empat roda yang terbalik ketika cuba menyeludup keluar daun ketum di sempadan Malaysia - Thailand di Padang Terap.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP: Sekumpulan penyeludup bertindak melarikan diri selepas pacuan empat roda membawa 628 kilogram (kg) daun ketum terbalik ketika dikejar tentera di sempadan Malaysia-Thailand di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu, salah satu daripada beberapa buah motosikal yang mengiringi kenderaan pikap jenis Toyota Hilux itu turut terbalik akibat hilang kawalan.

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam kenyataan memaklumkan, beberapa suspek bertindak melarikan diri selepas dikejar pasukan operasi di sektor Kawasan Tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia (KTJ 6 Bgd).

“Pasukan operasi berjaya mengesan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang diiringi beberapa motosikal dalam keadaan mencurigakan melalui laluan di sempadan sebelah Malaysia.

“Pasukan operasi bertindak mengejar kesemua kenderaan tersebut dan mendapati terdapat sebuah pacuan empat roda dan sebuah motosikal telah terbalik dipercayai hilang kawalan dan suspek berjaya melarikan diri,” katanya di sini, hari ini.

Menurut kenyataan itu, hasil pemeriksaan terhadap kenderaan dan motosikal itu menemukan sembilan guni putih dan 33 plastik hitam yang berisi daun ketum dengan jumlah berat keseluruhan sebanyak 628kg bernilai RM18,840.

“Semua daun ketum tersebut dipercayai cuba dibawa keluar dari Malaysia ke Thailand melalui laluan tidak sah.

“Sehubungan itu, satu laporan polis dibuat di Balai Polis Kuala Nerang dan kesemua barangan rampasan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Anggaran keseluruhan nilai rampasan daun ketum termasuk kenderaan pacuan empat roda dan sebuah motosikal jenis Honda Wave 110i berjumlah sebanyak RM 81,340,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya