Pesta Sukan Air Kuala Kangsar dijangka tarik 50,000 pengunjung - Utusan Malaysia

Pesta Sukan Air Kuala Kangsar dijangka tarik 50,000 pengunjung

MOHD. Zahidi Zainuddin (tengah) semasa sidang akhbar penganjuran Pesta Sukan Air Kuala Kangsar 2024 di Ipoh, Perak hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Penganjuran Pesta Sukan Air Kuala Kangsar 2024 yang akan berlangsung pada 26 dan 27 Oktober ini dijangka menarik kehadiran dan penyertaan seramai 50,000 pengunjung.

Pengerusi Jawatankuasa Induk Pesta Sukan Air, Jeneral (B) Tan Sri Mohd. Zahidi Zainuddin berkata, program itu dianjurkan bersempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah tahun.

Katanya lagi, pesta sukan air itu juga sekali gus meraikan ulang tahun yang ke-10 baginda bersemayam di atas takhta singgahsana kerajaan negeri Perak.

Dalam pada itu beliau menegaskan, penganjuran itu juga akan mengambil kira soal keselamatan memandangkan ketika ini sedang terjadinya musim hujan lebat yang menyebabkan beberapa kawasan dinaiki air.

“Kita telah mengambil iktibar daripada segi cuaca, deras dan kedalaman air Sungai Perak. Kita telah bekerjasama dengan jabatan-jabatan berkaitan untuk menentukan paras air yang selamat.

“Kita mengambil kira perkara itu kerana keselamatan adalah keutamaan. Kita sentiasa mengatasi paras air. Diharapkan cuaca dan paras air pada dua tarikh itu berada dalam keadaan yang selamat,” katanya dalam sidang akhbar bagi menguar-uarkan penganjuran tersebut di sini hari ini.

Program itu dianjurkan oleh kerajaan negeri Perak dengan kerjasama Majlis Belia Negeri Perak dan Muafakat Anak Jati Kuala Kangsar.

Menurut Mohd. Zahidi, empat kategori pertandingan akan dianjurkan seperi pertandingan sukan air, pertandingan aktiviti masyarakat, pertandingan sukan darat dan pertandingan anak muda.

Antara acara yang bakal diadakan adalah seperti lumba perahu naga, lumba kayak, jet ski, bot berhias, permainan tradisional seperti congkak dan batu seremban, tiang licin, pukul bantal, breakdance, E-Sport serta kaligrafi Cina.

Pesta Sukan Air Kuala Kangsar kali terakhir dianjurkan pada tahun 2009. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya