Pesawah tertekan, mohon naikkan harga siling padi

Pesawah tertekan, mohon naikkan harga siling padi

CHE Fariz Izani Che Ya (kiri) memeriksa traktor yang digunakan untuk kerja-kerja sawah di Kampung Semadong, Beseri, Padang Besar, Perlis semalam. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kenaikan harga siling belian padi dari RM1,300 kepada RM1,600 antara yang perlu dilaksanakan oleh kerajaan bagi mengelak pengilang terus bermain harga sehingga membebankan para pesawah.

Hal demikian kerana pesawah terus tertekan dengan permainan harga oleh pengilang yang secara mendadak menurun harga belian padi tersebut daripada RM1,800 sebelum ini kepada RM1,400 dengan dijangka akan mengalami penurunan lagi sehingga paras siling, RM1,300.

Kenaikan harga siling tersebut juga penting di sebalik pesawah terpaksa menanggung bebas kenaikan kos jentera dan input pertanian sehingga ada dalam kalangan petani mengalami kerugian jika mendapat hasil sekitar satu tan metrik bagi keluasan serelung.

Bagaimanapun, kenaikan tersebut tidak ada disentuh dalam Belanjawan 2025, Jumaat lalu.

Seorang pesawah, Che Fariz Izani Che Ya, 36, berkata, pada masa ini, kenaikan harga siling berkenaan yang perlu diberi perhatian bagi memberi sedikit kelegaan kepada pesawah.

Katanya, apabila ditetapkan harga siling RM1,600 jika berlaku penurunan oleh pihak kilang sehingga paras siling sekali pun ia masih pada tahap yang boleh diterima.

Soalnya, permainan harga oleh pihak kilang telah membebankan pesawah yang sebelum ini mereka boleh saja menawarkan harga belian pada kadar RM1,800 per tan.

“Kena naik harga siling memandangkan sekarang kos jentera semua meningkat. Kos traktor untuk dua kali putaran contohnya telah meningkat daripada RM200 kepada RM300. Begitu juga kos mesin padi meningkat daripada RM150 kepada RM200 bagi keluasan serelung,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, para pesawah terus teriksa apabila pendapatan dijangka susut sehingga 20 peratus berikutan harga belian padi oleh kilang-kilang kini mula menurun kepada RM1,450 berbanding RM1,800 per tan metrik.

Tindakan kilang bermain harga dengan menurunkan harga padi khususnya ketika musim menuai ini memberi kesan yang cukup besar kepada pesawah disebalik kos jentera dan input pertanian tidak pula turun sebaliknya terus meningkat termasuk benih padi.

Difahamkan, antara perkara yang membawa kepada penurunan harga belian padi itu adalah selepas pengumuman memperkenalkan peraturan melarang campuran beras putih tempatan dengan import yang sebelum ini didakwa menjadi amalan biasa pengilang khususnya kilang-kilang besar yang mempunyai pemborong sendiri.

Tambah Che Fariz, dia yang mengusahakan kawasan sawah seluas 20 hektar mengeluarkan modal sehingga RM39,000 dan bernasib baik kerana mempunyai jentera sendiri.

Bagi mereka yang tidak mempunyai jentera sendiri katanya, sudah pasti terbeban dengan kenaikan kos upah jentera ini.

Disebabkan masalah-masalah seperti ini, katanya, pesawah khususnya dalam kalangan orang muda sudah tidak berminat mengusahakan tanaman padi. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya