Pesara dipenjara enam bulan, ajar ajaran salah Ahmadi Religion 

Pesara dipenjara enam bulan, ajar ajaran salah Ahmadi Religion 

ZOLEKAFELI Abd. Ghani dibawa ke Kompleks Kehakiman Syariah Negeri Sembilan di Bandar Sri Sendayan, Seremban hari ini atas bagi berdepan pertuduhan mengajar ajaran salah berkaitan ajaran The Ahmadi Religion of Peace and Light.-UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang pesara dipenjara enam bulan dan denda RM4,500 selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan mengajar ajaran salah berkaitan ajaran The Ahmadi Religion of Peace and Light kepada anak lelakinya.

Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Sembilan, Zulfikri Yasoa menjatuhkan hukuman itu terhadap Zolekafeli Abd. Ghani, 60, selepas meneliti hujahan pihak pendakwaan dan menimbang rayuan tertuduh.

Mahkamah menetapkan hukuman penjara berjalan secara berturutan dan sekiranya tertuduh gagal membayar denda boleh dipenjara dua minggu bagi setiap pertuduhan.

Mengikut pertuduhan pertama, Zolekafeli didapati telah mengajar ajaran salah kepada anak lelakinya berusia 30 tahun yang berlawanan dengan hukum syarak dengan menyatakan Abdullah Hashim adalah Imam Mahdi ketiga dan ajaran ini mendakwa roh Allah ada pada Abdullah Hashim.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, Zolekafeli didapati mengajar ajaran salah kepada anak yang sama dengan mengatakan al-Quran telah ditokok tambah oleh Saidina Umar serta menyatakan kahwin antara adik beradik dibenarkan dengan syarat kahwin secara biologi dan bukannya secara roh.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Ampangan lebih kurang pukul 2 petang hingga 4.40 petang pada 12 Oktober lalu.

Pendakwaan terhadap Zolekafeli dibuat di bawah Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 pindaan 2019, dan jika sabit kesalahan boleh dihukum denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu dalam prosiding kes, Zolekafeli dalam rayuannya memohon hukuman dikurangkan atas alasan menghidap penyakit kencing manis, tekanan darah tinggi dan sakit jantung selain masih menanggung anak yang masih belajar.

“Saya merupakan pesara pencen pegawai bomba dan mempunyai lima orang anak dengan dua daripadanya sudah bekerja dan tiga masih belajar,” katanya.

Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Sembilan, Azizudin Abdullah Halim memohon mahkamah mengenakan hukuman berat sebagai pengajaran kerana kesalahan dilakukan tertuduh adalah serius dan boleh menjejaskan akidah umat Islam.

“Ajaran salah boleh menyebabkan syirik, kufur dan murtad selain mewujudkan perpecahan dalam masyarakat, timbul pelbagai keganasan, mengancam keselamatan negara dan membuat manusia sesat dalam agama,” katanya.

Sementara itu, Pendakwa Syarie, Zarul Izham Jaafar berkata, ajaran dikenali The Ahmadi Religion of Peace and Light mempunyai kitab suci sendiri dan aktif di pelbagai platform media sosial termasuk YouTube dan TikTok.

“Ajaran ini bukan ajaran biasa, malah ramai jadi pengikut terutama rakyat Malaysia, mereka membuat penstriman di TikTok dengan pengikut akaun lebih 30,000 orang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi,” katanya.

Semalam media melaporkan, sepasang suami isteri bersama seorang anak perempuan mereka ditahan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) di sebuah rumah di Ampangan, di sini selepas disyaki menjadi pengikut ajaran Ahmadi Religion. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya