PETALING JAYA: Selaras dengan Dasar Latihan Teknikal dan Vokasional Negara (TVET) Negara, kerajaan meningkatkan peruntukan kepada RM7.5 bilion ketimbang RM6.8 bilion.
Keutamaan diberikan untuk meningkatkan kerjasama dengan industri, menyediakan peluang latihan untuk belia rentan termasuk dari kelompok miskin bandar, terpinggir, pedalaman dan Orang Asli serta membawa khidmat TVET bagi manfaat masyarakat.
Kerajaan selain itu mengalu-alukan kerjasama Proton melalui Proton Advanced Automotive Technology Institute di Melaka yang menyumbang kurikulum, bantuan tenaga pengajar serta keperluan latihan.
Bagi menggalakkan kerjasama seumpama ini, geran padanan RM50 juta disediakan untuk lebih banyak industri mengikuti Program ‘Anak Angkat ILKA’.
Selain itu, GLC akan menerajui pembangunan latihan kemahiran baharu untuk industri masing-masing seperti TNB (peralihan tenaga) dan SD Guthrie (mekanisasi dan automasi perladangan).
Syarikat akan diberikan potongan cukai atas peralatan dan mesin baharu yang disumbangkan kepada Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA), politeknik atau kolej vokasional berdaftar mulai tahun taksiran 2025 hingga 2027.
Majikan akan diberi kebenaran untuk menggunakan sehingga 50 peratus dana HRDCorp ketimbang 30 peratus pada masa ini bagi tujuan membiayai kemudahan latihan kemahiran termasuk kos peralatan dan ubah suai fasiliti latihan. – UTUSAN