Peruntukan RM20 juta dimohon bina R&R di LTU - Utusan Malaysia

Peruntukan RM20 juta dimohon bina R&R di LTU

AHMAD Maslan (tengah) mendengar taklimat tentang pelaksaan projek pembaikan cerun dan Jalan Persekutuan FT185 Seksyen 44.1 Jalan Simpang Pulai - Blue Valley daerah Kinta dekat Ipoh hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kementerian Kerja Raya akan memohon peruntukan sebanyak RM20 juta daripada kerajaan Pusat bagi membina hentian rehat dan rawat (R&R) di Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) di Pahang.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, permohonan itu akan dilakukan kerana melihat ia sebagai satu keperluan mendesak dan merupakan kehendak rakyat.

Jelasnya, cadangan pembinaan itu akan melibatkan R&R di kedua-dua belah arah dengan kemudahan asas seperti tandas, tempat solat, gerai jualan dan makanan.

“Saya yakin ada kelulusan (peruntukan). Sebab ia adalah keperluan mendesak dan kehendak rakyat,” katanya kepada pemberita semasa meninjau projek pembaikan cerun dan Jalan Persekutuan FT185 Seksyen 44.1 Jalan Simpang Pulai-Blue Valley dekat sini hari ini.

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam telah menitahkan kerajaan Pusat melalui Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Ekonomi mempertimbangkan semula pembinaan kawasan R&R di lebuh raya tersebut.

Baginda menegaskan bahawa keperluan R&R di lebuh raya tersebut akan dapat memberi kemudahan dan keselesaan kepada pengguna sekali gus mengelak masalah pembuangan sampah serta kekotoran di pinggir jalan akibat ketiadaan kemudahan tandas.

Ahmad juga berkata, hasrat sama telah dikemukakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail supaya perkara itu diangkat semasa sidang Parlimen yang akan bermula pada Isnin ini.

“Perkara ini telah pun kita putuskan bahawa tapaknya telah pun ada. Cuma peruntukan itu kami akan pohon,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya