KUALA LUMPUR: Sebanyak RM1 bilion diperuntukkan bagi Projek Penanaman Padi Lima Musim Dua Tahun di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Fasa 1 dengan keluasan hampir 11,000 hektar.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan tersebut mampu meningkatkan hasil padi sebanyak 15 peratus selain melonjakkan pendapatan 6,100 pesawah sehingga 43 peratus.
“Pengurusan padi di Sekinchan, Sabak Bernam, Selangor terbukti menghasilkan padi lebih banyak sehingga 12 tan metrik sehektar.
“Kerajaan akan memulakan projek rintis bagi memperoleh baja termasuk baja organik mengikut kawasan penanaman padi secara tender terbuka,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025, di Dewan Rakyat, hari ini.
Sementara itu, Anwar yang juga Perdana Menteri berkata, sebanyak RM65 juta disediakan bagi membangunkan pengairan dan saliran jelapang padi serta meluaskan estet padi FELCRA di Sabah dan Sarawak.
“Belanjawan 2025 menyediakan RM300 juta bagi menjalin kerjasama projek pertanian dengan kerajaan negeri, meningkat berbanding RM150 juta tahun ini.
“Ini bagi menyokong pengeluaran bawang di Perak, ternakan talapia merah di Pahang dan peningkatan hasil padi di Negeri Sembilan.
Tambahnya, kerajaan bersama badan swasta akan memanfaat hampir 8,800 ekar (3,561.2 hektar) tanah terbiar milik lembaga kemajuan wilayah dan agensi rangkaian mereka untuk melaksanakan projek pertanian seperti perusahaan ayam organik dan lembu serta tanaman berkelompok.
“Agrobank pula menyediakan kemudahan pinjaman RM200 juta kepada pengusaha agromakanan bagi menyokong keterjaminan makanan dan pertanian lestari.
“Belanjawan 2025 turut menyediakan RM27 juta sebagai insentif kepada petani dan penternak untuk meningkatkan ternakan lembu pedaging, ruminan kecil kambing pedaging, kambing tenusu dan bebiri serta pengeluaran bawang tempatan,” katanya. – UTUSAN