PUTRAJAYA: Peningkatan peruntukan bagi pengurusan hal ehwal Islam sebanyak RM2 bilion menerusi Belanjawan 2025 membuktikan Kerajaan Madani komited dengan usaha-usaha pembangunan syiar Islam di Malaysia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, jumlah peruntukan itu meningkat sebanyak RM0.1 bilion berbanding tahun ini.
Beliau berkata, seluruh warga jabatan ini bertekad terus berusaha dengan semangat islah dan itqan bagi memastikan seluruh agensi Islam sentiasa memelihara tatakelola yang baik dan integriti.
“Selain itu agensi Islam juga akan berusaha menjadi contoh terbaik dalam kecekapan pengurusan seperti yang dihasratkan Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menerusi Belanjawan 2025 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sejumlah RM150 juta diperuntukan untuk menyelenggara prasarana pendidikan Islam Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) seperti sekolah pondok, sekolah tahfiz dan sekolah agama rakyat.
Kerajaan bersetuju untuk memberikan sumbangan khas sebanyak RM500 untuk menghargai sumbangan besar lebih 70,000 para Imam, Bilal, Siak, Noja, Marbut, Guru KAFA dan guru takmir yang melibatkan peruntukan RM35 juta.
Pada masa sama, Kerajaan bersetuju untuk menambah kuota Guru KAFA sebanyak 1,500 orang selari dengan tuntutan pendidikan fardu ain untuk anak-anak.
Kerajaan juga begitu prihatin dengan bakal pendakwah dalam kalangan penuntut di Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah (IPDAS), Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (IKMAS) dan Darul Quran Jakim dengan meningkatkan kadar wang saku penuntut sebanyak RM100. – UTUSAN