Peruntukan penduduk luar bandar RM11.96 bilion naik RM400 juta - Zahid Hamidi 

Peruntukan penduduk luar bandar RM11.96 bilion naik RM400 juta – Zahid Hamidi  

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Peningkatan ketara peruntukan terhadap penduduk luar bandar sebanyak RM11.96 bilion membuktikan komitmen kerajaan dalam melaksanakan agenda pembangunan luar bandar.

Peruntukan tersebut sekali gus menyaksikan 8.1 juta penduduk desa bakal menerima manfaat dalam pelbagai  aspek seperti ekonomi, modal insan, sahsiah dan spiritual.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, menerusi Belanjawan 2025, peruntukan kepada penduduk luar bandar meningkat sebanyak RM405.27 juta atau 3.52 peratus berbanding peruntukan pada  belanjawan sebelum ini. 

“Peruntukan  ini menunjukkan komitmen tinggi kerajaan dalam melaksanakan agenda pembangunan luar bandar yang akan memberi manfaat kepada 8.1 juta penduduk desa.

“Peruntukan ini dapat menyokong usaha berterusan kementerian Kemajuan Dewa dan Wilayah (KKDW) untuk mewujudkan persekitaran kehidupan luar bandar yang sejahtera dan makmur seperti yang digariskan dalam Dasar Pembangunan Luar Bandar 2030,” katanya pada sidang media di Parlimen, di sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri KKDW berkata, daripada  RM11.96 bilion tersebut, ia merangkumi RM4.47 bilion peruntukan mengurus melibatkan peningkatan sebanyak RM350.06 juta bersamaan 8.51 peratus, dan  RM7.49 bilion peruntukan pembangunan melibatkan peningkatan sebanyak RM55.21 juta atau 0.74 peratus.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kementeriannya juga menerima peruntukan RM2.9 bilion bagi pembangunan dan menaik taraf infrastruktur asas di luar bandar termasuk di Sabah dan Sarawak.

“Belanjawan 2025 telah meningkatkan peruntukan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), FELCRA Berhad dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) kepada RM2.6 bilion berbanding RM2.4 bilion pada tahun 2024 untuk terus merancakkan aktiviti agrikomoditi negara sekali gus meningkatkan sosio ekonomi pekebun kecil.

“Di bawah peruntukan ini, sebanyak RM60 juta diberikan kepada RISDA secara geran padanan bagi Program Galakan Pengeluaran Lateks Pekebun Kecil bagi menggalakkan pekebun kecil getah menghasil getah lateks untuk memenuhi keperluan industri dan seterusnya mengurangkan import lateks negara,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN