KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memberi jaminan kepada lebih 1,000 penduduk Kampung Sembulan Tengah bahawa tiada kerja-kerja perobohan akan dilakukan pada 1 November ini.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Shahelmey Yahya berkata, biarpun notis perobohan bertarikh 1 November telah dikeluarkan oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) namun, kerajaan telah memutuskan tiada perobohan akan dilakukan selagi isu-isu berkaitan belum diselesaikan.
“Kita setuju bahawa notis perobohan yang pada mulanya dijadualkan pada 14 Oktober dan kemudian pada 1 November ditangguhkan. Jadi, tiada perobohan dalam tempoh terdekat.
“Namun, pemilik-pemilik lot bersetuju beberapa struktur rumah yang agak uzur dan mungkin boleh mengundang risiko keselamatan akan dirobohkan sekiranya perlu,” katanya semasa melakukan tinjauan di Kampung Sembulan Tengah, hari ini.
Beliau berkata, perobohan tidak akan dilakukan secara serta-merta atau secara mengejut tanpa sebarang makluman diberi kepada penduduk. Sekiranya ada keperluan untuk melakukan perobohan, DBKK akan maklumkan lebih awal kepada penduduk terlibat.
Mengulas Skim Pembangunan Semula Bandar Sembulan di Kampung Sembulan Tengah, Shahelmey berkata, keputusan atau pelantikan pemaju belum lagi dimuktamadkan.
Ahli Parlimen Putatan itu berkata, kerajaan tidak akan bertindak membiarkan satu tindakan drastik yang menghalau ataupun membiarkan penduduk terlibat dalam skim pembangunan semula ini kehilangan tempat tinggal.
Katanya, kerajaan melalui DBKK dan beberapa agensi sedang memikirkan formula untuk memastikan penduduk terlibat akan mendapat penempatan yang sebaiknya.
Mengenai pampasan kepada pemilik lot yang tempoh pajakannya belum tamat, perkara itu katanya, akan dirundingkan antara pemilik tanah, DBKK serta pemaju terlibat.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Penduduk dan Kebajikan Kampung Sembulan, Osman Omar Khan, 57, berkata, penduduk kampung dan pemilik tanah kesal kerana perbincangan bersama kerajaan sebelum ini, tiada keputusan yang jelas dan tiada kata sepakat.
“Kami tidak pernah menolak pembangunan dan tidak menghalang kerajaan untuk membangunankan semula kawasan ini. Tapi, takkan kami tinggal di jalan raya jika rumah kami dirobohkan begitu sahaja,” katanya.
Beliau mengharapkan kerajaan hari ini dapat mendengar masalah mereka dan jika ada perobohan perlu dilakukan disebabkan faktor keselamatan maka, ia perlu dibincangkan lebih awal dengan pemilik tanah. – UTUSAN